Tempat ketiga pun jadilah…

SKUAD Harimau Malaya mengakhiri perlawanan Piala Airmarine 2019 pada kedudukan ketiga selepas menewaskan Afghanistan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Kemenangan membuktikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe masih dibarisi pemain terbaik apabila memberi tentangan sengit kepada skuad kendalian Anoush Dastgir.

Separuh masa pertama menyaksikan keadaan padang yang becak dan hujan lebat menyebabkan rentak kedua-dua pasukan sedikit terganggu apabila masing-masing gagal melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, skuad daripada Asia Timur itu dilihat terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain tengahnya Faysal Shayesteh pada minit 31 sekali gus menewaskan penjaga gol Harimau Malaya Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, gol cantik daripada pemain paling kecil atas padang Faiz Nasir tiga minit sebelum separuh masa tamat memberi sedikit kelegaan pada tuan rumah untuk kedudukan 1-1.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bermain lebih agresif mencari gol namun penyudah yang tumpul menafikan mereka untuk meraikannya.

Malaysia dilihat mempunyai lebih banyak peluang terutama pemain tengahnya Muhammad Hadin Azman m-61 apabila dia yang hanya berdepan dengan penjaga gawang lawan gagal menyumbat gol.

Skuad Harimau Malaya sekali lagi berpeluang menambah gol lima minit kemudian namun tendangan Abdul Halim Saari berjaya ditepis penjaga gol.

Gol ditunggu skuad Harimau Malaya akhirnya menjelma apabila Abassin Alikhil menyumbat gol sendiri akibat keadaan kucar kacir di pintu hadapan gol ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan sekali gus skuad negara boleh menarik nafas lega tidak berada di kedudukan tercorot dalam saingan Piala Airmarine 2019.

Sumber: HM

RM12 Juta Jaring Gol Guna Tumit

SHAH ALAM: Pemain sensasi, Akhyar Rashid membuktikan ‘tag harga’ RM12 jutanya apabila cemerlang membantu skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) meraih kemenangan 3-0 ke atas Filipina pada aksi Kumpulan J Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Meskipun jarang mendapat peranan dalam aksi domestik namun pengalaman yang diraih ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini membolehkannya tampil dengan permainan meyakinkan di pentas Asia sehingga berjaya meledak dua gol pada separuh masa pertama.

Menerusi kemenangan terbabit, tiga mata pertama yang dikutip pada aksi pembukaan itu dilihat memberi petanda positif dalam usaha skuad negara merebut slot ke saingan AFC yang berlangsung di Thailand tahun hadapan.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu tidak boleh selesa memandangkan ketumpulan penyudah mungkin boleh membuatkan mereka gigit jari pada aksi berikutnya apabila deretan peluang ketika bertemu Filipina gagal disempurnakan.

Dengan barisan terkuat bagi aksi pembukaan, dominasi penuh ditunjukkan anak buah Kim Swee apabila hanya memerlukan 240 saat untuk membuka jaringan menerusi lorongan Syahmi Safari yang dimanfaatkan Akhyar Rashid untuk melakukan satu percubaan menewaskan Micheal Asong.

Malaysia seharusnya menambah lebih banyak namun beberapa peluang yang diperoleh tidak disudahkan dengan baik sebelum Akhyar mencetak gol kedua menerusi penyudah menggunakan tumit pada minit ke-30.

Sepakan sudut Safawi Rasid menggegar tiang gol Filipina pada minit ke-42 dan Hadi Fayyadh Abdul Razak mensia-siakan peluang keemasan untuk menambah gol ketiga apabila percubaannya dalam situasi satu lawan satu dinafikan Asong pada minit ke-45.

Hasrat Malaysia untuk menambah gol terus terbantut apabila palang menafikan percubaan pemain gantian, Faisal Abdul Halim pada minit ke-72 namun pemain itu menebus kekecewaannya dengan gol menarik selepas mudah menggelecek Asong dan pertahanan Filipina sebelum menyumbat masuk bola pada minit ke-84.

Sementara itu, satu lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang menyaksikan China di bawah bimbingan Guus Hiddink melaungkan amaran sebagai pasukan pilihan selepas membelasah Laos 5-0 sekali gus mendahului Kumpulan J.

Selepas ini, China akan bertemu Filipina sementara Malaysia akan meneruskan pemburuan tiga mata bertemu Laos, gelanggang sama, Ahad ini.

Sumber: BH

Hazwan Tidak Patut Diturunkan?

KUALA LUMPUR 21 Mac – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap mempertahankan keputusannya menurunkan Hazwan Bakri berbanding menggunakan khidmat pemain lincah Selangor, Faiz Nasir ketika aksi menentang Singapura, semalam.

Jelasnya, tindakan menggantikan pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon dengan Hazwan kerana berpendapat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu memberi impak terbaik buat pasukan negara.

Jika membuat perbandingan, Faiz yang berada pada prestasi terbaik adalah pilihan lebih tepat untuk diberikan peluang bermain dalam aksi tersebut berbanding Hazwan yang difahamkan belum diturunkan JDT dalam aksi Liga Malaysia, musim ini.

“Kerana posisi agak berlainan dan saya rasa Faiz Nasir lebih sesuai bermain peranan pemain nombor 10.

“Hazwan dah bersama (pasukan) tahun lepas dan banyak perlawanan (dia bermain), jadi saya rasa di posisi tersebut Hazwan boleh memberi satu impak atau kesan terbaik untuk negara,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.

Harimau Malaya terpaksa akur dengan Singapura apabila tewas 0-1 dalam aksi pembukaan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol tunggal pemain sayap lincah Singapura, Faris Ramli pada minit ke-82 cukup untuk menghukum Malaysia.

Kekalahan itu cukup mengecewakan pemain yang terdahulu turut beraksi dalam keadaan agak sunyi dengan kehadiran hanya 3,000 hingga 4,000 peminat ke stadium yang mampu menampung 90,000 penonton.

Malaysia kini akan menentang Afghanistan dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini manakala Singapura bertemu Oman untuk merebut kejuaraan. – UTUSAN ONLINE

3 bintang dalam “Senarai Idaman” Real Madrid

LONDON: Bintang Perancis, Kylian Mbappe, Paul Pogba, Matthijs de Ligt dan Eden Hazard disenarai peminat Real Madrid sebagai pembelian idaman pada musim panas ini dalam undian yang dijalankan akhbar Sepanyol, Marca.

Lebih 200,000 peminat Real di seluruh dunia berpeluang mengambil bahagian dalam undian berkenaan yang dibahagikan kepada beberapa posisi tertentu.

Selepas dilabel antara prospek paling mengujakan, peny3rang muda Paris Saint-Germain (PSG) Mbappe mendapat peratusan undian tertinggi di bahagian s3rangan iaitu 79 peratus berbanding bintang lain seperti Neymar dan peledak England, Harry Kane.

Di bahagian tengah, pemain Manchester United, Pogba yang dikaitkan dengan perpindahan ke Bernabeu sejak beberapa minggu lalu memperoleh undian tertinggi mengatasi Sergej Milinkovic-Savic, bintang Bayern Thiago dan Miralem Pjanic.

Pemain Chelsea, Hazard dalam pada itu memperoleh 70 peratus undi bagi bahagian perancangan mengatasi pemain Tottenham, Christian Eriksen dengan kedua-dua bintang Liga Perdana itu dilabel sebagai pembelian berpotensi pada musim panas ini.

Begitupun kejutan berlaku di bahagian pertahanan apabila peminat kelab itu meletakkan pemain Ajax, De Ligt sebagai pilihan utama diikuti pemain Inter Milan, Milan Skriniar, Kalidou Koulibaly (Napoli).

De Ligt yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona memenangi undian berkenaan selepas kapten Ajax itu meraih 67 peratus undian.

Seperti pemain-pemain lain yang berada dalam senarai berkenaan, Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke Real susulan kepulangan semula pengurus Zinadine Zidane pada awal bulan ini.

Tetapi berdasarkan ESPN, PSG sudah memberi jaminan kepada orang yang rapat dengan Mbappe yang pemain berusia 20 tahun itu tidak akan ‘terpikat’ dengan sebarang tawaran perpindahan ke kelab lain. – Agensi

Sumber : BH

Luqman laku keras

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kini menjadi buruan lima kelab bola sepak terkemuka di Liga Jepun selepas memperagakan aksi bertenaga bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara di Piala Sanix di Fukuoka, Jepun baru-baru ini.

Difahamkan, satu daripada lima kelab terbabit adalah daripada saingan divisyen satu (J1) manakala selebihnya pasukan J2 yang diketahui memiliki tahap kualiti tinggi berbanding liga lain di benua Asia.

Khabar gembira itu dimaklumkan Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada selepas berakhirnya kempen Piala Sanix di mana skuad kendalian Bojan Hodak sekadar menamatkan cabaran di tangga ke 12 daripada 16 pasukan bertanding.

Malah, Luqman juga berjaya mencipta sejarah apabila dipilih sebagai kesebelasan terbaik Piala Sanix pada edisi kali ini.

“Saya rasa ini adalah berita yang baik untuk Luqman. Saya mendapat berita ada lima pasukan liga Jepun yang bertanyakan mengenai dia.

“Mereka tertarik dan mahu melihat sendiri prestasi individu dari Luqman. Saya akan kumpulkan semua data dan video prestasi Luqman secara individu untuk diberikan kepada mereka.

“Apapun semuanya terpulang kepada Luqman sekiranya dia ingin bermain di sini,” kata Hamada yang sebelum ini turut memainkan peranan besar membawa penyerang skuad B-22 negara, Hadi Fayyadh Abd Razak beraksi bersama kelab J2, Fagiano Okayama.

Jelasnya, beliau sedia membantu Luqman bagi mendapatkan tempat beraksi dengan kelab di negara matahari terbit itu.

“Kami bukan ejen bola sepak, kami hanya membantu mana-mana pemain Malaysia yang berminat dan layak untuk mendapat tempat di sini,” katanya.

Sementara itu, Luqman mengakui bersedia menyahut cabaran untuk bermain di Jepun sekiranya mendapat mana-mana tawaran di sini.

Jelas pemain kelahiran Kelantan yang diasah bakatnya menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu, dia sememangnya bercita-cita untuk berkelana ke luar negara bagi meningkatkan prestasinya.

“Saya akan sentiasa fokus dengan karier saya dan sekiranya ada pasukan luar berminat mendapatkan khidmat saya, saya akan terima dan mencuba yang terbaik. Cita-cita saya sememangnya untuk bermain di luar negara untuk meningkatkan lagi prestasi dan perbaiki diri saya sendiri,” katanya.

Sumber: HM

Real Madrid kelab impian

CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES, Perancis: Paul Pogba berkata dia “gembira” berada di Manchester United tetapi Real Madrid “adalah kelab impiannya”.

Bermain untuk Real “adalah impian setiap kanak-kanak, bagi setiap pemain bola sepak”, kata pemain tengah itu dalam sidang media di kem latihan Perancis.

“Ia adalah salah satu kelab terbesar di dunia. Saya sering berkata Real Madrid adalah kelab idaman bagi setiap pemain,” kata pemain berumur 26 tahun itu.

Kelab Sepanyol itu baru-baru ini melantik semula bekas pemain tengah Perancis, Zinedine Zidane yang juga pemenang Piala Dunia sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Santiago Solari.

United juga membuat pertukaran jurulatih pada musim ini dengan membawa masuk Ole Gunnar Solskjaer bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat.

“Pada ketika itu, saya gembira di Manchester. Saya bermain. Ada jurulatih baru,” katanya.

Pogba yang ditemuramah di saluran televisyen Britain di sebelah pagi, ditanya semula tentang hubungan tegangnya dengan Mourinho dan sekali lagi dia cuba mengelak.

“Apa yang tak kena? Kami tak menang,” katanya.

“Sebab itulah mereka menukar jurulatih. Tak perlulah kita bercakap dengan lanjut.

“Jika ada keputusan maka ia pasti lebih positif, jurulatih akan kekal,” katanya dengan senyuman. – AFP

Sumber: BH

“Di mana bangsa final”

PETALING JAYA: Di mana anda semua wahai ‘bangsa final’?

Demikian reaksi penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak mengenai cadangan Ultras Malaya ingin memboikot perlawanan membabitkan Harimau Malaya dalam saingan Piala Airmarine, bermula perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Sambil menghormati alasan segelintir pihak mahu memboikot Piala Airmarine, Zaquan tetap mengharapkan kehadiran penyokong sendiri dan mahu semangat patriotik sebagai keutamaan berbanding hal lain termasuk isu harga tiket.

Jika kempen untuk tidak ke stadium berjaya, kemungkinan perlawanan skuad negara dan Singapura akan berlangsung suram dan pastinya ia sesuatu cukup berbeza berbanding pertandingan Piala Suzuki AFF sebelum ini.

“Semasa Piala Suzuki AFF, timbulnya isu ‘bangsa final’. Apabila sudah berlaku seperti ini (hasrat memboikot), saya sebagai wakil pemain ingin bertanya di manakah bangsa final?

“Kami juga ada maruah dan buat kerja kami untuk negara. Tetapi apabila ada ingin boikot, ia mungkin boleh menjatuhkan semangat kami. Kalau boleh datanglah ke stadium beri sokongan kepada kami kerana kami juga manusia biasa, bukannya robot.

“Namun kalau (terus) boikot atas alasan masing-masing, saya tidak boleh paksa. Masing-masing ada alasan sendiri namun kami tetap mengharapkan sokongan anda semua,” katanya pada sidang media pra perlawanan, hari ini.

Pada penganjuran sulung membabitkan empat negara, Malaysia, Oman, Afghanistan dan Singapura kali ini, pihak penganjur menetapkan harga RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

Menerusi muatnaik di laman sosial, Ultras Malaya sekeras-kerasnya mengutuk dan tidak akan bersetuju dengan sebarang eksploitasi ke atas skuad Harimau Malaya untuk kepentingan dan keuntungan poket pihak tertentu.

Mereka bertegas Harimau Malaya sudah dieksploitasikan di dalam kejohanan Piala Airmarine yang sengaja dicipta untuk mengambil kesempatan daripada semangat serta keinginan penyokong yang inginkan ranking skuad kebangsaan meningkat.

Sumber : BH

Jeventus nak tapi …

JUVENTUS sedia menawarkan jalan keluar buat bintang pudar Manchester United, Alexis Sanchez jika sanggup gajinya dipotong.

Kelab gergasi Itali itu juga sukakan idea sekiranya Sanchez digandingkan dengan Cristiano Ronaldo di Turin.

Bagaimanapun, usaha itu terbantut disebabkan gaji sebanyak £500,000 (RM2.7 juta) seminggu diraih oleh pemain Chile itu di Old Trafford.

Mereka bersetuju untuk membayar bekas rakan sepasukan Arsenal Aaron Ramsey sebanyak £400,000 (RM2.1j) seminggu apabila dia menyertai pada jendela perpindahan musim panas tetapi menurut laporan CalcioMercato, dia tidak akan cuba menyaingi cabaran gaji diterima oleh Sanchez.

Sanchez bergelut sejak beralih dari Stadium Emirates ke United sejak 14 bulan lalu.

Masalah kecederaan kerap menghantui pemain terbabit menyukarkannya untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Dia mengikat kontrak bersama United selama lima tahun.

Sanchez hanya menjaringkan dua gol musim ini iaitu satu pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu pada Piala FA.

Pada masa sama, United perlu menamatkan saingan dalam kedudukan empat teratas untuk mendapatkan peluang menandatangani pemain pertahanan Roma, Kostas Manolas.

Sumber : HM

DAP jangan melampau!

ARAU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan mengkritik tindakan segelintir pemimpin DAP yang berpolitik secara melampau hingga melabelkan pihak tertentu sebagai Taliban atau ekstremis.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang politik tetapi adalah tidak wajar menggambarkan secara melampau kerjasama PAS dan UMNO.

“DAP, janganlah membuat tuduhan berlebihan terhadap PAS seperti Taliban kerana apa yang dilakukan PAS dan UMNO adalah kerjasama berkaitan politik.

“Kerjasama mereka tidak membabitkan sebarang unsur ekstremisme, malah di Malaysia, ia tidak sampai ke tahap itu.

“Kena ingat, saya datang daripada PAS dan hasil acuan daripada PAS. Apa yang PAS buat, saya masih menghormati PAS. Apabila menuduh PAS ekstrem itu tidak kenalah. Jangan semua kita cat dengan warna yang sama,” katanya yang ditemui selepas merasmikan program Jom Masuk Universiti di Kolej Vokasional Arau di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman membabitkan kerjasama PAS dan UMNO termasuk mengaitkan isu tembakan di beberapa masjid di Christchurch, New Zealand hingga menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan rakyat negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggambarkan kerjasama dua parti itu sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Islam sebelum menarik balik frasa ‘pengisytiharan perang’ itu.

Susulan itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.

Semalam, seorang lagi pemimpin DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan kes pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan PAS sebelum bertindak menarik balik kenyataan.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengakui dirinya amat mengenali cara kerja dan kepemimpinan PAS yang tidak wajar dilabel sebagai Taliban.

“Dalam kalangan pemimpin PAS, mungkin ada yang semangat sikit, mungkin ada yang lebih rasional, tak semua buruk dan semua baik.

“Tak adil menuduh PAS semuanya tidak elok kerana mahu bermain politik semata-mata,” katanya.

Sumber: BH

Hamilton terpantas

PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas ketiga dan final sebelum bermula pusingan kelayakan Formula Satu Grand Prix Australia hari ini.

Warga Britian, dalam misi memburu kejuaraan dunia yang keenam dengan hanya satu membezakan rekod tujuh kejuaraan dimenangi Michael Schumacher, berikutan catatan semasa dilakukan Hamilton satu minit 22.292 saat di Melbourne’s Albert Park.

Memecut dalam keadaan tayar yang baik, dia antara jentera terakhir yang keluar ke litar namun pantas mencatat kelajuan dalam setiap pusingan dan turut mengekori rapat pencabar dari Ferrari, Sebastian Vettel.

Pelumba Jerman yang juga juara dunia empat kali, yang memenangi perlumbaan di Australia dua tahun lalu, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan satu minit 22.556 saat, dua per sepuluh saat di depan rakan sepasukan barunya, Charles Leclerc.

Vettel mencatat masa kedua terbaik pada sesi latihan sekali gus menafikan dia akan beraksi sambil lewa pada perlumbaan itu.

Lebih mengejutkan pasukan Haas diwakili Roman Grosjean dan Kevin Magnussen berada di kedudukan keempat dan kelima.

Pelumba Red Bull, Pierre Gasly di tempat keenam dengan rakan sepasukannya Max Verstappen, di tempat ke sembilan.

Sumber : HM