2 Gol tewaskan Kedah beri semangat

KUALA TERENGGANU: Selepas cemerlang menyumbat dua gol ketika membantu Terengganu FC (TFC) menumpaskan Kedah 2-0 pada kancah Piala Malaysia, Khamis lalu, Kipre Tchetche melaungkan keyakinan untuk terus menjadi watak pemusnah musim ini.

Pemain kelahiran Ivory Coast  yang sudah tiga tahun bersama skuad Penyu juga sudah bersedia mengulangi pencapaian musim lalu apabila dia dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan meledak sembilan gol.

Pada aksi bertemu skuad Helang Merah di Stadium Darul Aman, bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu memberikan sumbangan besar terhadap kemenangan skuadnya dan lebih mengagumkan, ia hadir ketika skuad bimbingan pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.

Ia susulan layangan kad merah yang dikenakan kepada penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

“Saya begitu gembira selepas berjaya menjaringkan dua gol yang begitu bermakna buat pasukan di tempat lawan, lebih menggembirakan apabila jaringan itu adalah gol permulaan dalam saingan Piala Malaysia.

“Saya juga gembira dengan persembahan rakan sepasukan yang beraksi cemerlang dan berdisiplin walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain dalam tempoh yang lama.

“Bukan senang beraksi dengan kekurangan pemain lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka, tapi kita mampu bertahan dengan baik dan pintu gol kita juga tidak bolos sebelum melakar kemenangan,” kata ¬†Tchetche.

TFC selepas ini dijadual bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 17 Ogos ini.