Aksi Ee Yi-Yew Sin curi tumpuan

KUALA LUMPUR: Perjuangan Malaysia pada saingan Piala Sudirman 2019 berakhir selepas tewas 0-3 di tangan Jepun dalam aksi suku akhir di Nanning, China sebentar tadi.

Bagaimanapun, ada perkara positif di sebalik kekalahan itu yang menyaksikan barisan muda negara mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tunduk di tangan lawan masing-masing.

Paling mencuri tumpuan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang bertarung selama 1 jam 35 minit sebelum tewas kepada pasangan nombor dua dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-13, 24-26, 21-23.

Malah, Ee Yi benar-benar mendalami maksud peribahasa berjuang sehingga titisan darah yang terakhir apabila dia terpaksa menerima rawatan selepas dagunya mengalami pendarahan akibat berlanggar dengan Yew Sin ketika terikat 19-19 di set ketiga.

Wakil kedua negara, Soniia Cheah yang turun untuk acara perseorangan wanita turut berjaya memberi tentangan sengit kepada pemain nombor dua dunia, Nozomi Okuhara sebelum tewas 16-21, 13-21.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuktikan dia sekurang-kurangnya mampu menyaingi pemain kelompok utama dunia apabila memberi cabaran kepada Kento Momota sebelum tunduk 18-21, 16-21.

Kekalahan menyaksikan skuad negara sekadar mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Gold Coast, Australia apabila turut mara ke suku akhir sebelum tewas di tangan Jepun 1-3.

Sumber : BH