Amaran buat Rodriguez, Bauman

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu jentera se*rangannya meningkatkan ketajaman bagi membantu pasukan memburu gol pada aksi kumpulan A Piala Malaysia menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam Jumaat ini.

Kekalahan mengejut 0-2 kepada Terengganu FC minggu lalu jelas memaksa skuad Lang Merah untuk lebih fokus memperkemaskan aspek se*rangan dan pada masa yang sama mahu mengukuhkan benteng pertahanan.

“Saya sudah memberi amaran kepada penye*rang Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman selepas kami tewas kepada TFC minggu lalu agar mereka lebih fokus dan mempertingkatkan aspek ketajaman se*rangan dalam usaha memburu tiga mata berdepan PKNS kali ini.

“Kekalahan kepada Terengganu FC minggu lalu benar-benar meninggalkan kesan kepada pasukan dan juga penyokong di laman sendiri dan kita mahu pastikan momentum yang kita mulakan dengan kemenangan di Paroi dapat disambung selepas ini.

“Saya berharap dengan semangat baharu yang kami ada, kami harus bangkit melenyapkan kekecewaan lalu dan sudah semestinya kutipan tiga mata akan menjadi sasaran utama kami di tempat lawan nanti,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Aidil boleh menarik nafas lega kerana pertahanan, Renan Alves bakal beraksi menentang PKNS FC selepas dikatakan tidak dapat diturunkan akibat penggantungan kad kuning.

“Ya, Alves boleh beraksi untuk perlawanan ini kerana baharu dua kali beliau menerima kad kuning. Jadi, menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dia boleh diturunkan.

“Namun kita juga terpaksa berdepan kesukaran apabila Azmeer Yusoff masih belum pulih dari kecederaan kaki dialaminya sebelum aksi menentang Terengganu FC minggu lalu.

“Selain Azmeer, kita juga berdepan isu kecederaan beberapa pemain lain seperti Farhan Roslan dan Azamuddin Akil selain David Rowley yang masih belum pulih,” katanya.