Amaran Keras Buat Tchetche

KECEWA dengan prestasi ayam tambatannya, Kipre Tchetche yang masih belum mencetak gol setakat ini memaksa ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memberi amaran keras kepada pemain itu.

Bagaimanapun Irfan menegaskan beliau tidak berniat menghukum atau menyingkirkan pemain paling mahal skuad Penyu itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebaliknya beliau menuntut pemain import dari Ivory Coast itu bangkit mencari sentuhan berbisanya bertemu juara Piala Malaysia musim lalu, Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

“Melihat prestasinya yang merudum berbanding musim lalu, saya tiada pilihan melainkan terpaksa memanggil pemain itu untuk diberikan kata dua supaya bangkit.

“Saya memanggilnya kerana nak tahu punca sebenar permainannya merosot tanpa sebarang gol setakat ini, hasil pertemuan itu Kipre mengakui prestasinya tidak seperti sebelum ini dan dia akan berusaha bangkit menggegar jaring selepas ini,” kata Irfan.

Mengulas persiapan menjelang pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus, Irfan mengakui beliau lega selepas semua tonggak utamanya bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan perlawanan, namun pada masa sama berharap pengadil mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

”Saya tuntut pemain kami menggunakan kesempatan dan peluang bermain di rumah sendiri untuk mencatat kemenangan selepas sekadar seri dalam dua perlawanan terdahulu dengan PKNS FC 1-1 dan JDT (Johor Darul Ta’zim) 2-2.

“Selain itu saya gesa pemain supaya jangan kedekut atau beraksi bagaikan seorang diri sebaliknya perlu mengamalkan corak permainan sepasukan kerana itu antara kunci kejayaan pasukan.”

Sumber : HM