Penyak!t “M!steri”?

ALOR SETAR : Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) menggesa pihak kejurulatihan Kedah yang diketuai Aidil Sharin Sahak segera mendapatkan formula berkesan bagi mengelak aksi ‘yoyo’ berulang dalam saingan Liga Super seperti dipamerkan ketika ini.

Prestasi Kedah yang dilihat mantap di awal musim, tiba-tiba longlai dengan mencatatkan keputusan luar jangkaan selepas tewas kepada pasukan bawahan liga seperti Kuala Lumpur (1-2) sebelum ini dan juga Melaka United (0-1) Ahad lalu.

Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata, kekalahan mengejut yang dialami umpama ‘penyak!t m!steri’ dan ianya berulang apabila skuad Lang Merah menentang skuad bawahan.

“Apabila menentang pasukan kuat, Kedah berjaya kekalkan rentak perlawanan, tapi kami hairan bila lawan dengan pasukan bawahan liga, Kedah kecundang dengan mudah seperti lawan sebelum ini bertemu Melaka dan Kuala Lumpur yang sepatutnya kita boleh menang.”

“Memang kalah menang adalah adat perlawanan, namun apa yang kami terkilan adalah aksi longlai pemain-pemain longlai yang dipamerkan, ia jelas menampakkan Kedah tidak beraksi seperti yang dirancangkan.”

“Kami boleh terima kekalahan namun biarlah kekalahan itu cara bermaruah dan bukan tewas mudah dengan kurang percubaan untuk menghasilkan gol.”

Asmadi turut risau apabila mendapati beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada perlawanan lalu dijangka tidak dapat diturunkan untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor Jumaat ini.

“Perkara yang merisaukan kami adalah faktor kecederaan empat hingga lima pemain seperti pemain import Anmar Al Mubaraki, Zaquan Adha, Shahrul Azwari dan lain-lain yang belum dapat dipastikan status untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.”

“Tambahan pula Kedah perlu bersedia untuk aksi suku akhir Piala FA bertemu PKNS FC di gelanggang lawan empat hari selepas perlawanan Liga Super itu yang memerlukan tahap kecergasan yang tinggi.”

“Walau bagaimanapun kami masih yakin pihak kejurulatihan dapat merungkai masalah melibatkan kecederaan yang sedang melanda pasukan ini dengan melakukan beberapa rombakan perancangan dan pemain bagi mengelak masalah ini berterusan.” katanya.

Sumber: BH

Chelsea ‘buang’ peluang

LONDON: Chelsea menerima tamparan hebat dalam usaha memburu slot Liga Juara-Juara apabila Burnley mengikat mereka 2-2 dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Maurizio Sarri turut diarahkan keluar padang, pagi tadi.

Jeff Hendrick menghadiahkan Burnley jaringan pembukaan sebelum N’Golo Kante dan Gonzalo Higuain meletakkan Burnley di depan 2-1 hanya selepas 14 minit aksi.

Bagaimanapun, Ahsley Barnes memastikan skuad pelawat kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Selepas Tottenham Hotspur, Manchester United dan Arsenal semuanya tumpas hujung minggu ini, Chelsea berpeluang mencengkam kedudukannya di tangga keempat EPL.

Keputusan seri itu membolehkan Chelsea merampas semula kedudukan keempat, menyamai mata dengan pasukan tangga ketiga Tottenham, namun dipisahkan berdasarkan agregat gol dan satu mata di depan Arsenal dengan kedua-dua pencabarnya kekurangan satu aksi di tangan.

Burnley kekal di tangga ke-15 sambil sembilan mata memisahkan mereka dengan zon penyingkiran ketika berbaki tiga perlawanan liga untuk dimainkan.

Dalam malam yang penuh malang buat Chelsea, Callum Hudson-Odoi mengalami kecederaan serius pada bahagian otot di atas tumit dan Kante pada bahagian tulang rusuk.

Kekecewaan The Blues untuk meraih tiga mata penuh memuncak apabila pengadil Kevin Friend mengarahkan Sarri keluar padang selepas pengendali dari Itali itu dilihat bertegang leher ketika pemain kedua-dua pasukan bertelagah di hujung permainan.

“Anda boleh faham pastinya dia kecewa dengan perlawanan hari ini,” kata penolong jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola yang menggantikan Sarri pada sesi temubual selepas tamat perlawanan.

Zola berkata, sebenarnya Sarri cuba menteteramkan pemainnya daripada terus ‘bercakaran’ tetapi disalahtafsir oleh pengadil; “Kami tidak gembira dengannya.

Pertahanan Chelsea, David Luiz menuduh Burnley sebagai bermain ‘bola sepak negatif’ dengan cuba membuang masa dan suka berkampung di kubu sendiri.

Bagaimanapun, pandangan itu ditolak mentah-mentah oleh pengendali Burnley, Sean Dyche yang sebalilnya memuji barisan pemainnya kerana berjaya menahan asakan dan tekanan diberikan Chelsea.

“Ada kalanya anda akan melalui malam seperti ini apabila anda perlu bertahan setiap inci permainan,” katanya. “Ia tetap saat yang membanggakan untuk penyokong melihat barisan pemain mereka memberikan segala-galanya dalam perlawanan.” – REUTERS

Sumber: BH

Menteri: Kalau boleh PH selamanya bukan k’jaan sepenggal

Dakwaan kerajaan PH tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik dan mampu bertahan hanya sepenggal hanyalah sekadar persepsi semata-mata, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Menjelaskan lanjut, pemimpin Amanah itu berkata pentadbiran sekarang telah melakukan tugasnya dengan baik.

“Itu perasaan orang luar, kami berkerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tak berhenti dan dapat lihat hasil-hasilnya.

“Dan kalau orang luar nak lihat kami sepenggal itu, orang luarlah tapi tanggungjawab saya buat yang terbaik. Kita boleh buat kerja dan pastikan disiplin, telus dan berani strukturkan kembali agensi atau mana-mana badan yang lakukan penyelewengan, saya perlu sokongan dari pegawai-pegawai saya.

“Jadi tak timbul masalah sepenggal lagi, kalau boleh (PH) selamanya tapi kita akan buat dan yakinkan rakyat, beri kita masa,” katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam sesi wawancara bersama pemberita di Menara Lembaga Petubuhan Pelandang (LPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Salahuddin turut ditanya mengenai pencapaian menteri PH yang dianggap tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik seperti ketua mereka Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas perkara itu, Salahuddin berkata tiada kajian yang boleh disandarkan berdasarkan kenyataan berkenaan.

“Itu persepsi mungkin. Tapi kalau Dr Mahathir sebagai perdana menteri menegur kami sebagai anggota kabinet yang masih belum capai prestasi seumpanya, saya sebagai menteri pertanian saya sedar, saya bermula dari kosong.

“Jadi kita harus tunjukkan kita mampu bekerja, jangan tidur di rumah (saja), jangan buat penyelewengan, jangan makan rasuah tapi tunjukkan apa perancangan kita.

“Saya boleh tunjukkan kepada rakyat ini buku saya, saya lakukan dengan keringat, usaha dan air mata. Jadi saya akan berpegang di sini.

“Jadi kalau orang luar kata pasukan Dr Mahathir lemah, saya tak rasa begitu, kerana apa yang kami buat lebih penting daripada cakap-cakap saja,” katanya.

Sumber : MK

Gangguan bekalan air hingga 86 jam di 577 kawasan di KL, Selangor

PUTRAJAYA: Gangguan bekalan air hingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

“Henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Santiago berkata, Air Selangor akan mengambil langkah yang berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terbabit.

“Antaranya adalah memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman selain memastikan bantuan bekalan air dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya,” katanya.

Santiago berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan dan LRA SSP2 beroperasi semula.

“Air Selangor menjangka bahawa hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata, pengguna adalah dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara itu dan disarankan menggunakan air secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran. – BERNAMA

“Harapan rakyat akan memberi PH satu lagi mandat PRU akan datang”

Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau dibebani dengan tugasan “tiga kali ganda lebih banyak” berbanding semasa menjadi perdana menteri pertama kali sebelum ini.

Kata perdana menteri keadaan itu berlaku kerana barisan anggota kabinetnya sekarang kekurangan pengalaman.

Bagaimanapun, Mahathir berkata menteri-menteri baru yang dilantiknya belajar dengan cepat dan sentiasa meminta nasihat beliau sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai perkara-perkara dalam portfolio mereka.

“Beban kerja sangat berat, beberapa surat yang ditulis kepada saya, saya hanya boleh baca tiga bulan kemudian.

“Apabila saya tahu apa yang mereka minta, tarikhnya sudah berlalu. Orang bertanya kepada saya mengapa saya tidak menjawabnya.

“Saya cuba, tetapi saya tidak dapat menyelesaikan kerja saya. Walaupun pada waktu malam, ada orang yang datang berjumpa saya atau saya perlu menghadiri sesuatu atau hal-ha lain, yang bermaksud saya tidak mempunyai masa untuk melaksanakannya.

“Orang ramai datang tanpa henti. Mereka datang untuk melihat saya dan berada di situ terlalu lama. Kerana itu, saya tidak boleh pulang ke rumah.

“Dan di rumah, ketika pulang, orang masih mencari saya di rumah untuk saya melakukan sesuatu,” kata pemimpin politik berusia 93 tahun itu, yang akan menginjak ke usia 94 tahun pada Julai depan.

Dalam temu bual eksklusif bersama The Star perdana menteri menambah menteri-menteri PH datang untuk mendapatkan nasihat kerana pengalamannya menjadi perdana menteri selama 22 tahun, dan beliau memberikan pandangan sewajarnya.

“Tetapi sudah tentu beban itu berat dan apa yang saya lakukan sekarang adalah tiga kali lebih banyak daripada apa yang saya lakukan ketika saya menjadi perdana menteri buat kali pertama.

“Saya harus bekerja sepanjang hari walaupun mereka tidak mengganggu saya. Terdapat banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana beberapa menteri saya tidak cukup arif dalam mengendalikan masalah berkenaan, jadi mereka datang kepada saya,” katanya.

Menurut Mahathir, beberapa menterinya juga dilihat masih dalam mentaliti pembangkang yang galak mengkritik dan bukannya melaksanakan dasar sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Kritikan yang ditimbulkan oleh barisan menteri, misalnya, membabitkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan tugas terdahulu beliau sebagai ketua menteri Pulau Pinang dan memberi kesan kepada janji PH.

Bagaimanapun, menurut Mahathir beliau tetap mendapat sokongan daripada barisan kabinetnya itu meskipun ada yang berbeza pandangan.

“Sebagai contoh, saya mencadangkan supaya ada undi kerana terdapat dua pendapat yang berbeza di dalam kabinet.

“Mereka tidak bersetuju. Saya berkata jika tiada undi, bagaimana kita membuat keputusan? Oleh itu, terdapat kesetiaan yang baik (kepada perdana menteri),” katanya.

Kata Mahathir lagi, menjelang setahun pentadbiran PH sudah ada beberapa masalah utama negara yang dibangkitkan sebelum ini dapat diselesaikan

Bagaimanapun, Mahathir yakin ia boleh menjadi lebih baik.

“Saya ingin mengatakan bahawa kita perlu bergerak lebih cepat, tetapi terdapat banyak kekangan apabila kita berurusan dengan kewangan. Anda meminjam wang dan anda tidak membayar, anda boleh dipinggirkan.

“Negara hampir dimusnahkan tetapi kami telah mengelaknya. Ekonomi masih berkembang sebanyak empat peratus. Itu, bagi saya, adalah satu pencapaian kerana, walaupun kita perlu menangani masalah besar, ekonomi negara masih berjalan lancar,” katanya sambil menambah berbilion ringgit yang dilaburkan pelabur AS sejak PH mengambil alih negara.

Ditanya mengenai kejayaan pentadbirannya, perdana menteri berkata keupayaan PH berkerjasama sebagai sebuah kerajaan adalah kejayaan pertama mereka, diikuti usaha menangani masalah kewangan negara, tanpa menjejaskan rakyat dan pertumbuhan negara.

Mahathir juga mengulangi kesukaran untuk melaksanakan sepenuhnya semua janji dalam manifesto pilihan raya.

Bagaimanapun, perdana menteri menyatakan harapan rakyat akan memberi PH satu lagi mandat dalam pilihan raya umum akan datang selepas pentadbiran semasa membina semula ekonomi dan menyediakan rakyat dengan pekerjaan dan membuat prospek perniagaan lebih baik.

“Dalam keadaan itu, kami fikir orang akan memberi kami peluang lain untuk meneruskan rancangan kami dan semua itu,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang ingin dilihat ketika beliau meninggalkan jawatan yang disandangnya kini nanti, Mahathir berkata Malaysia sepatutnya berada pada ketika pentadbiran perdana menteri keempat.

“Negara ini sudah jelas dan berkembang secara fizikal. Anda melihat orang bergerak ke bidang perniagaan baru kerana perkara akan berubah dan tindak balas anda mesti cepat.

“Sekarang ini, kita bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan penghalang, kita harus tahu sesuatu tentang itu, untuk orang yang berada dalam kedudukan saya, untuk menyelesaikan masalah ini atau untuk menggunakan teknologi ini, anda perlu membaca juga.

“Saya membaca untuk memastikan saya sentiasa dikemas kini dengan teknologi terkini,” katanya.

Sumber : MK

Red Devils | Semangat Yang Hilang?

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui tidak mengetahui sama ada pemainnya mempunyai semangat untuk beraksi selepas dibelasah Everton semalam.

United mengalami kekalahan keenam dalam lapan aksi apabila tewas di Goodison Park sekaligus menjejaskan impian menduduki kelompok empat teratas dan wajib memanfaatkan peluang ketika melayan kunjungan Manchester City dan Chelsea pada baki perlawanan.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya pemainnya masih bersemangat untuk beraksi, Solskjaer berkata: “Saya tak tahu. Anda perlu bertanya kepada mereka. Anda tidak akan mendapat jawapan daripada saya tetapi jika anda mahu bermain dengan kelab ini, anda perlu lakukan lebih daripada itu.

“Kami tidak boleh ubah keseluruhan skuad. Satu langkah pada satu masa. Saya boleh mencapai kejayaan di sini dan akan ada pemain yang tidak berada di sini ketika itu.”

Solskjaer meminta maaf kepada penyokong United di Goodison Park yang terus menyanyi selama 90 minit walaupun mereka menyaksikan kekalahan terbesar pasukan sejak 2016.

Pengendali dari Norway itu perlu segera memulihkan kembali moral pemainnya menjelang kunjungan City di Old Trafford pada awal pagi Khamis ini dan menentang Chelsea empat hari kemudian.

“Inilah insentif terbesar kami, kedua-dua aksi di Old Trafford di hadapan penyokong fantastik kami,” kata Solskjaer.

“Kami perlu fokus dua perlawanan ini dan meraih mata untuk menduduki empat teratas. Nampak mudah berkata tetapi kami perlu terus memandang ke hadapan.”

Sumber: HM

Perlis FC sedia mengaum

SERAMAI 15 daripada 18 bekas pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) yang sebelum ini menyara kehidupan sebagai nelayan dan pencuci kereta, mampu menarik nafas lega apabila mereka ditawarkan menyertai pasukan Perlis FC.

Selain pemain, bekas jurulatih Piala Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Manja Man turut dilantik sebagai ketua jurulatih Perlis FC dan akan mengendalikan skuad itu yang dijangka menyertai kancah liga tempatan tahun depan.

Tawaran menyertai pasukan yang dimiliki Harini Sdn Bhd itu menjadi petanda positif bahawa karier bola sepak pemain berkenaan masih belum berkubur, meskipun sebelum ini mereka tidak menerima mana-mana tawaran bermain dengan pasukan dalam kancah Liga Malaysia.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia bersama rakan bersyukur apabila masih ada pihak yang sudi membantu menyelamatkan karier mereka.

“Kami berharap selepas ini perjalanan kami dipermudahkan kerana sudah penat apabila sebelum ini kami seakan dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab. Memang saya berharap dengan tertubuhnya Perlis FC ini, ia dapat mengembalikan semula pembangunan bola sepak negeri ini selepas kemelut yang melanda PFA sejak tahun lalu seolah-olah melumpuhkan sukan ini di Perlis,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Skuad Perlis FC, kelmarin.

Ezzrul berkata, dia kini mahu fokus bersama pasukan baharu yang disertainya itu selain berharap isu gaji tidak timbul lagi.

“Sudah dua musim kami terkena (tidak dibayar gaji) dan perkara itu nyata memberi kesan besar sehingga ada rakan pasukan berhenti bermain bola sepak. Jadi selepas ini tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada persediaan dan ujian pemilihan pemain bagi membentuk pasukan,” katanya.

Sementara itu, Manja Man berkata, dia tidak berniat untuk membelakangi PFA dengan menerima tawaran mengendalikan Perlis FC.

“Pembangunan bola sepak di peringkat negeri perlu diteruskan meskipun tanggungjawab itu diambil alih pihak swasta atau persendirian. Perlis FC diberi kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Melayu Perlis untuk mewakili negeri ini pada saingan Piala Emas Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung pada September. Ini satu permulaan yang baik bagi persiapan pasukan dan pemain Perlis FC,” katanya.

Sumber: HM

Melaka United atasi Kedah

MELAKA: Melaka United (MU) menamatkan deretan badi tiga kekalahan apabila meraih kemenangan tipis menewaskan Kedah 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Gol tunggal perlawanan diperoleh menerusi tandukan pemain import dari Brazil Anselmo Casagrande pada babak kedua.

Selepas menampilkan aksi hambar di awal permainan, pelawat melakukan percubaan pada minit ke-23 menerusi pemain importnya Jonatan Bauman disusuli cubaan kapten pasukan Baddrol Bakhtiar seminit kemudian tetapi diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Dua gerakan terbabit jelas membuka nafsu pelawat untuk terus mengasak hebat ke kubu tuan rumah  sekali gus menguasai permainan tetapi dua cubaan susulan Baddrol menerusi s3pakan percuma juga gagal memecah kebuntuan.

Peluang terbaik buat MU hanya hadir pada minit ke-38 namun tandukan Patrick Reichelt berpunca hantaran Deevan Raj sedikit tinggi di kanan gawang Helang Merah.

Enggan igauan ngeri tiga kekalahan lalu terus menghantui, skuad tuan rumah bertekad menebus aksi kurang menarik pada babak pertama untuk tampil lebih kemas pada separuh masa kedua di depan lebih 6,000 penyokong setia.

Hasilnya Hang Tuah menampilkan  kebangkitan apabila Casagrande menanduk masuk gol tunggal perlawanan menerusi s3pakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-49.

Pemain gantian Nazrin Nawi hampir menambah gol kedua pada minit ke-67 namun s3pakan percumanya berjaya ditepis keluar penjaga gol pelawat Mohd Ifwat Akmal.

Kemenangan terbabit nyata amat melegakan tuan rumah selepas keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini termasuk tewas 0-1 di tangan PKNP FC minggu lalu.

Sumber : BH

Jumpa tulang panjang, serpihan tulang

PENDUDUK kampung yang melakukan pencarian Mohamad Ashraf Hassan, 29, menemui serpihan tulang dipercayai tulang lama di dalam Gua Kandu, Gopeng, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihak forensik sudah mengambil serpihan tulang itu dan dibawa untuk ujian patologi kimia bagi mendapatkan pengesahan selanjutnya.

“Memang betul penduduk ada menemui satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang enam ke lapan inci (15 sentimeter ke 20 sentimeter) di dalam Gua Kandu, kesemua tulang itu sudah diambil untuk dianalisis.

“Hanya tulang itu sahaja ditemui dan kita tidak menemui tengkorak atau rangka lain di lokasi itu, setakat ini kita belum boleh mengesahkan apa-apa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Razarudin berkata, selepas dianalisis dan jika disahkan ia adalah tulang manusia, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan untuk memadankannya dengan DNA Mohammad Ashraf dan ahli keluarganya.

Menurutnya, setakat ini tulang yang ditemui itu dipercayai adalah tulang lama dan carian dijalankan pihak forensik tidak menemui sebarang tulang lain di lokasi berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan atau lebih mesra dipanggil Acap itu ditangguhkan sementara Rabu lalu pada bagi memberikan peluang kepada penduduk meneruskan usaha itu.

Acap dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu selepas tidak sampai ke garisan penamat ketika menyertai larian itu sebelum rakannya membuat laporan polis mengenai kehilangan Juruteknologi Makmal di Klinik Kesihatan Daerah Muar itu.

SAR kemudiannya dijalankan pada 24 Mac lalu namun gagal menemui sebarang petunjuk mengenai kehilangannya itu sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangguhkannya sementara Rabu lalu.

Sumber : HM

Sudah bersedia dengan pemain lain?

KUALA TERENGGANU: “Kedudukan Kipre Tchetche belum selamat”. Itu jawapan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim ketika cuba meredakan tekanan peminat mengenai kedudukan peny3rang sensasinya itu dalam skuad berkenaan.

Irfan menegaskan tidak ada jaminan buat pemain kelahiran Ivory Coast yang diberi gelaran ‘Drogba Ganu’ sama ada terus kekal menyarung jersi skuad Penyu itu pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula pada awal Mei ini.

Malah Irfan turut menjelaskan beliau sebenarnya sudah ada bayangan pemain baharu untuk mengambil alih peranan peny3rang itu.

“Kedudukannya (Tchetche) sama ada akan kekal dalam skuad TFC selepas jendela kedua perpindahan pemain belum muktamad lagi, namun begitu saya sudah bersedia dengan pemain lain.

“Tapi saya tidak mahu terburu-buru kerana masih ada masa lagi kira-kira tiga minggu untuk memutuskan perkara itu sama ada Tchetche akan terus kekal menyarung jersi TFC atau diganti dengan pemain lain, ia bergantung kepada prestasi pemain itu.

“Bagaimanapun ketika bertemu FELDA United, Tchetche bukan hanya mampu menjaringkan gol, tapi corak permainannya lain macam sikit dan semakin meningkat,” katanya.

Ketika menentang skuad The Fighters di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu, bekas penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu itu dengan menghasilkan 14 gol itu berjaya membuktikan ketajamannya apabila meledak dua jaringan untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1.

Jaringan itu adalah yang pertama dihasilkan pemain itu dalam saingan Liga Super musim ini selepas kemarau gol sejak sembilan perlawanan yang menyaksikan skuad TFC hanya merekod 11 jaringan manakala 14 bolos.

Sumber: BH