BAM nak tahu cerita

BELUM ada sebarang keputusan muktamad mengenai masa depan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei termasuk hasratnya untuk bersara.

Itu penjelasan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengenai masa depan bekas pemain nombor satu dunia itu yang dikatakan bakal mengumumkan persaraannya minggu depan. Jelas Norza, situasi sebenarnya ialah badan induk itu baru dalam proses untuk mengadakan perbincangan dengan Chong Wei dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hala tuju kariernya.

“Perbincangan bersama perlu diadakan kerana kami ingin tahu apakah perancangan Chong Wei. Tak semestinya dia akan bersara atau sebaliknya. Dia yang beritahu hendak bertemu BAM, tetapi setakat ini belum dapat jumpa lagi.

“Pertemuan itu perlu kerana sudah banyak kejohanan yang tidak disertai olehnya. Jadi, seperti saya katakan tadi kami perlu duduk berbincang,” katanya. Jelas Norza, badan induk itu ketika ini tidak mempunyai sebarang keputusan mengenai masa depan Chong Wei selagi pertemuan antara kedua-dua pihak belum berlangsung.

“(Soal bersara) kami tidak boleh kata setuju atau tidak. Kalau Chong Wei nak teruskan kami akan beri sokongan. Jika dia ada perancangan lain pun kami akan teliti perancangan itu sebab selama ini pun kami sentiasa memberi sokongan kepadanya,” katanya.

Chong Wei menerusi satu laporan dikatakan sudah membuat keputusan untuk tidak bermain lagi selepas disahkan menghidap kanser hidung. Jaguh negara itu sudah tidak menjalani latihan selama sebulan sejak menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan, April lalu.

Sumber : HM