Bekas pertahanan kental Kedah antara calon

Pengendali Selangor, B. Sathianathan, menganggap pemain daripada pasukan sokongan, Selangor II, bukan pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nor Hakim Hassan menjelang permulaan Liga Super bulan depan.

Jurulatih itu menerima tamparan hebat apabila pemain sayap berkenaan disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut ACL.

Berita itu diketahuinya ketika penyerang import, Rufino Segovia, masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan.

Menyedari keperluan untuk mengisi posisi di bahagian kiri itu, Sathianathan, bagaimanapun, tampak menolak calon daripada Selangor II.

“Saya difahamkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) akan menggunakan pemain muda ini bagi pasukan Brad Maloney.

“Kalau seseorang pemain itu selalu tiada, ia macam kami tiada pemain.

“Itulah yang saya minta daripada pengurusan.

“Kami tidak boleh mengharapkan Selangor II.

“Kalau pasukan kebangsaan panggil (pemain), ia terpulang kepada pengurusan.

“Kalau pengurusan benarkan mereka pergi, kami tinggal seorang pemain di posisi itu.

“Jadi, saya perlu berbincang dengan pengurusan,” katanya.

Bekas pemain Kelantan, Fitri Omar, antara calon pilihan untuk beraksi di posisi pertahanan dan sayap kiri pasukan itu.

Apapun, fokus Sathianathan ketika ini adalah untuk memastikan pasukannya mampu bersaing dalam Piala Cabaran Asia.

Menganggapnya sebagai medan menguji kombinasi baru, jurulatih itu menuntut aksi terbaik daripada pemainnya dalam perlawanan menentang Persib Bandung di Stadium Shah Alam malam esok.

Editor: Muzaffar Musa