“Bola Sepak Malaysia membosankan” – Harian Metro

Bola sepak Malaysia agak membosankan! Pertengahan minggu lalu sepatutnya menyaksikan beberapa perlawanan Liga Super yang memberangsangkan.

Ini kerana kebanyakan pasukan sudah melakukan rombakan serta perubahan ketika jendela perpindahan dengan setiap pasukan mempunyai matlamat tertentu yang boleh menjanjikan persaingan sengit.

Perlawanan di antara Pahang bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjadi fokus utama minggu lalu kerana ini peluang terbaik untuk Tok Gajah mengekalkan harapan menjadi juara Liga Super. Tapi, peluang itu disia-siakan kerana tabiat serta perangai beberapa pemain. Jelas ada pemain hilang fokus serta rasa tanggungjawab.

Pahang mempunyai pemain individu yang baik, tapi Selasa lalu mereka dilanda mimpi serta cita-cita aneh. Setiap pemain di Malaysia, baik tempatan mahupun asing, mempunyai cita-cita mewakili Johor DT. Dan di sinilah pemikiran pemain mula kabur.

Sebagai contoh, perhatikan persembahan Liridon Krasniqi dari Kedah apabila menentang Johor DT. Dia akan hilang segala tanggungjawab berpasukan dan hanya beraksi secara individu. Dia akan melakukan pelbagai skil di merata padang dengan tabiat “aku, aku, aku“!

Malangnya, aksinya itu masih belum membawanya ke Johor.

Aksi Selasa juga mempamerkan Matheus Alves, Mohamadou Sumareh, Ahmad Syamim Yahya dan Wan Zaharulnizam Zakaria begitu bertekad untuk menonjolkan kebolehan individu sehingga menghancurkan impian serta matlamat pasukan.

Adakah kita lihat Alves sebagai penyerang utama berkombinasi baik bersama rakan sepasukan?

Sumareh pula begitu tamak apabila bola berada di kakinya. Dia tidak ingin membuat hantaran atau berkongsi bola bersama rakan-rakan sepasukan!

Bagaimana pula dengan potensi Wan Zaharulnizam yang sudah berusia 26 tahun? Sebenarnya prestasinya tidak berkembang walaupun sudah beraksi dalam liga terunggul Malaysia sejak 2014. Tidak ada perubahan prestasi dan sehingga kini, kita hanya menyaksikan seorang pemain sayap yang tumpul.

Kita juga menyaksikan Ahmad Syamim beraksi sebagai pemain tengah dengan keghairahannya melakukan ‘killer pass’ setiap kali mempunyai bola. Tapi, dia tidak mempunyai kebolehan ‘mencucuk’ bola bagi mencipta peluang dan akibatnya pada malam itu dia kerap memberi bola balik kepada pertahanan Johor DT dalam usaha mencari glamor.

Ini bermakna Pahang kehilangan empat pemain dan sikap buruk ini menghancurkan persembahan Yamil Romero.

Romero dari Argentina boleh dianggap pelorong bola terbaik dalam Liga Malaysia. Setiap hantarannya dibuat dengan begitu tepat, tapi dia tidak diberi sokongan rakan sepasukan. Pemain Pahang harus sedar perancang seperti Romero bukannya lahir setiap hari dan kebolehannya begitu istimewa.

Pemain ini hanya perlu bantuan pakar pemakanan serta perubahan tabiat rakan sepasukan.

Pendek kata, Pahang menewaskan diri sendiri dengan aksi tamak pemain serta kehilangan fokus. Tambah pula Johor DT hanya beraksi 60 peratus daripada potensi sebenar mereka malam itu.

Persembahan Johor DT tenggelam dengan Mohamed Ghaddar, Gabriel Guerra serta Gonzalo Cabrera memberikan aksi turun naik tapi masih boleh menang.

Pemain Pahang yang disebut tadi mempunyai peluang menebus harga diri apabila bertembung dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam malam ini.

Perlawanan ini harus menjadi pentas pemain membuktikan keikhlasan serta kesetiaan mereka terhadap matlamat pasukan.

Diharap keempat-empat mereka tidak terus bersikap tamak dan memalukan jurulatih sekali lagi.

Sumber – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published.