WhatsApp sudah diceroboh

SISTEM pesanan terbesar dunia, WhatsApp baru-baru ini dilaporkan menghadapi masalah apabila wujud akaun milik pengguna di serata dunia didakwa diceroboh oleh individu tidak dikenali yang mengakses maklumat pemilik akaun.

Ia turut membolehkan penceroboh mengakses maklumat kenalan kepada pemilik akaun WhatsApp dan menghantar mesej berunsur khianat selain penipuan membabitkan orang kenamaan termasuk di negara ini.

Insiden itu sekali gus mencetuskan tanda tanya berhubung tahap keselamatan aplikasi berkenaan sehingga boleh diceroboh oleh pihak ketiga. Tambah membimbangkan penceroboh boleh melihat maklumat kenalan pemilik akaun berkenaan.

Bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung tahap keselamatan aplikasi berkenaan, [email protected]minggu ini mendapatkan reaksi daripada pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berhubung masalah yang dihadapi oleh aplikasi pesanan terbesar dunia itu.

Sumber : HM

Pogba kunjungi Makkah

LONDON: Bintang Manchester United, Paul Pogba memanfaatkan bulan Ramadan apabila mengunjungi Makkah.

Pogba berada kota suci itu bersama beberapa rakan termasuk Kurt Zouma yang beraksi bersamanya dalam skuad Perancis.

Ini bukan kali pertama Pogba berkunjung ke Makkah sebaliknya pernah melakukannya pada dua musim sebelum ini.

Pemain yang dilaporkan bakal meninggalkan Old Trafford itu turut memuat naik dua keping gambar dalam akaun sosial media Instagram miliknya.

“Jangan lupakan perkara penting dalam hidup,” katanya menerusi gambar yang dimuatnaik.

United menamatkan musim ini dengan kekecewaan selepas tunduk 0-2 kepada Cardiff City untuk menamatkan saingan musim ini di tangga keenam serta terlepas slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika ini, Pogba muncul sebagai sasaran utama Zinadine Zidane untuk dibawa masuk menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid. –Agensi

Huawei secara rasmi disenara!h!tamkan

WASHINGTON/NEW YORK: Pentadbiran Trump secara rasminya menyenarai h!tam Huawei Technologies Co Ltd dari China, sekali gus akan menyukarkan lagi gergasi telekomunikasi itu untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan peraturan yang meletakkan Huawei dan 68 sekutunya di lebih dua belas negara dalam Senarai Entiti, langkah yang menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.

Mendapatkan kelulusan sedemikian tidak akan mudah.

Ini kerana kerajaan AS akan mengkaji semula permohonan lesen di bawah “andaian ia akan dinafikan”, demikian mengikut catatan pada Daftar Persekutuan.

Perintah itu berkuat kuasa dengan serta-merta, kata jurucakap Jabatan Perdagangan, walaupun ia tidak akan diterbitkan secara rasmi dalam Daftar Persekutuan sehingga Selasa.

Huawei, pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar di dunia, tidak memberi maklum balas segera ketika diminta memberikan ulasan.

Tindakan itu berlaku apabila kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perangan tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

AS percaya telefon pintar Huawei dan peralatan rangkaian boleh digunakan China untuk mengintip rakyat AS, tuduhan yang berulang kali dinafikan Huawei.

Jabatan Perdagangan AS terlebih dulu mengeluarkan notis Rabu lalu bahawa ia menambah Huawei ke dalam senarai h!tam itu.

Huawei “terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan keselamatan negara atau kepentingan dasar luar AS,” kata perintah itu.

Sebagai contoh, perintah itu menyebut kes jenayah yang ditangguhkan terhadap syarikat itu di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, atas tuduhan Huawei melanggar sekatan AS terhadap Iran.

Huawei mengaku tidak bersalah dalam kes itu.

Ia juga mendakwa Huawei “bertindak dengan menipu dan menghalang.”

Ahli Kongres dan pegawai pentadbiran berkata langkah itu akan menyukarkan Huawei untuk menjual produknya kerana pergantungannya kepada pembekal AS. – Reuters

Sumber : BH

Laa, ada lagi?

KUALA LUMPUR: Ketika kemelut rumah tangganya baru menemui noktah, Aliff Aziz terus dihimpit kontroversi apabila beberapa gambar mesra, termasuk foto dia bercium dengan seorang wanita tular di media sosial.

Bagaimanapun, wanita dalam foto terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai Mei Fina menafikan, dia menjalin hubungan istimewa dengan bekas suami Bella Astillah itu.

Pengakuan itu dibuat Mei Fina yang difahamkan ibu tunggal anak satu dan juga model sambilan menerusi sesi Live di Facebook, beberapa jam lalu.

“Terima kasih kerana tularkan gambar saya dengan Aliff. Tetapi itu gambar lama kami, kenapa baru sekarang tular?

“Saya baru kehilangan telefon ketika berada di sebuah pusat hiburan sebelum puasa. Saya tidak pasti mereka ambil gambar atau apa, tetapi baru sekarang tular,” katanya.

Menerusi sesi live itu juga, Mei Fina sempat menempelak warganet yang menuduhnya sebagai perosak rumah tangga lelaki itu.

“Semua orang tahu Aliff Aziz macam mana, jangan salahkan perempuan sahaja. Jangan acah-acah alim dan kata perempuan macam ni memang jenis suka kebas laki orang,” katanya.

Selasa lalu, nama artis kelahiran Singapura itu kembali hangat diperkatakan apabila gambar lelaki miripnya tanpa berbaju dilihat sedang dipeluk wanita tersebar di media sosial.

Isu itu semakin diperkatakan apabila video lain menampakkan lelaki persis penyanyi itu turut dilihat menerusi Instastory yang dikongsi gadis yang dikenali sebagai Nismell.

Bella sebelum ini, pernah mendedahkan kecurangan Aliff dengan seorang pelakon baharu, Oktovia Manrose menerusi laman Instagram pada Februari lalu.

Ia bukan kali pertama Bella berhadapan dengan isu itu kerana Aliff sebelum ini pernah dikaitkan dengan pelakon, Afifah Nasir.

Sumber : BH

Bella bersedia hidup tanpa Aliff

KUALA LUMPUR: Isteri Aliff Aziz, Bella Astillah menyifatkan kemelut rumah tangga mereka memberi kesan mendalam kepada fizikal dan mentalnya, membuatkan dia bersedia untuk teruskan hidup sendiri.

Bella dalam satu hantaran menerusi Instagram berkata, tidak mudah untuk dia mengambil keputusan itu, namun berharap semua pihak menghormati dan memberinya ruang melalui situasi mencabar itu.

“Saya sudah membuat keputusan untuk teruskan hidup tanpa Aliff. Sekalipun saya ingin memperbaiki, semua itu dilakukan demi anak saya,” katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Bella turut memohon orang ramai supaya berhenti menghantar mesej peribadi atau menghubunginya untuk bertanya mengenai rumah tangganya.

Kakak kepada penyanyi, Didi Astillah itu bagaimanapun, berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan memberikan pandangan mereka terhadap isu perkahwinannya.

“Ia bukan perkara yang mudah untuk dilalui, tetapi saya tahu ada yang berniat baik dan ada juga berniat buruk apabila menganggap saya sebagai manusia paling bodoh apabila terus mempertahankan perkahwinan yang sudah hancur.

“Saya turut memohon orang ramai berhenti menghantar mesej peribadi dan menghubungi saya untuk terus bercakap serta membuat spekulasi mengenai isu ini.

“Saya akan meneruskan kehidupan ini dengan askar kecil saya (anak). Terima kasih atas sokongan yang diberikan terutama keluarga saya,” katanya.

Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu kembali hangat apabila didakwa curang buat kali ketiga selepas gambar miripnya berswafoto sambil tidak berbaju bersama seorang gadis berpakaian seksi tular, hari ini.

Selain gambar, turut tersebar satu rakaman video live Instagram memaparkannya bersama gadis sama dikenali sebagai Nismel itu.

Difahamkan, gambar yang dipercayai dirakamkan Nismel itu disebarkan rakan baiknya yang dikenali sebagai Manja ekoran perselisihan faham mengenai hutang.

Susulan perkongsian panas itu, ruangan komen di Instagram @aliffaziz91 menjadi sasaran netizen apabila rata-rata menempelak perbuatannya mengulangi kesilapan yang sama.

Terdahulu, Aliff terpalit kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah. Bagaimanapun, Bella memaafkan perbuatan Aliff hingga kejadian membabitkan pelakon baharu, Oktovia Manrose, sekitar Februari lalu.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun.

Sumber : BH

Ramai pemandu e-hailing gagal lesen

PETALING JAYA: Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) bingung apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.

Presidennya, Arif Asyraf Ali, berkata walaupun GDMA tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV berkenaan namun secara kasarnya beliau mendakwa 10 hingga 50 peratus saja pemandu yang lulus dalam setiap kelas.

Beliau juga mendakwa, terdapat kes di Pulau Pinang yang hanya tujuh pemandu lulus ujian PSV daripada 40 orang bagi menduduki peperiksaan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, hal ini berlaku disebabkan beberapa perkara, antaranya ujian dijalankan dalam satu bahasa saja iaitu Bahasa Malaysia dan ia menjadi punca utama kegagalan itu.

“Selain itu, kami juga mendapati ujian dilaksanakan dalam tempoh waktu yang amat singkat iaitu pemandu perlu menyelesaikan 60 soalan dalam 60 minit.

“GDMA juga menagih janji kerajaan yang menjanjikan ujian dilaksanakan dengan sistem ‘open book’ yang membolehkan pemandu merujuk buku panduan ketika menjawab soalan disediakan,” katanya pada sidang media ‘Menuntut Reformasi PSV’, di sini hari ini.

Arif turut mendakwa rata-rata institut memandu masih belum bersedia melaksanakan kursus PSV kepada hampir 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan latihan mengambil lesen PSV dilaksanakan bermula 1 April sehingga Julai depan, namun terdapat institut memandu yang dikunjungi pemandu masih belum bersedia untuk mengadakan kelas.

“Kebanyakan institut memandu juga tidak mempunyai ruang dan kelas secukupnya malah kami difahamkan hanya 50 pemandu dapat menduduki satu kelas untuk setiap minggu. Jadi, ia sangat mustahil untuk mereka menampung semua pemandu dalam masa tiga bulan,” katanya.

Arif turut menyatakan kebimbangannya terhadap nasib 442 pemandu e-hailing Orang Kelainan Upaya (OKU) apabila dimaklumkan tidak dibenarkan meneruskan kerjaya mereka.

“Berdasarkan syarat pengambilan lesen PSV OKU (fizikal) yang memandu kelas A atau A1 secara automatik tidak dibenar dilesenkan justeru kami bimbang seramai 442 pemandu OKU ini akan menganggur kerana hilang punca pendapatan,” katanya.

Sumber : BH

Bubur Lambuk Diraja Sabtu ini

BUBUR Lambuk Istimewa Resipi Raja Permaisuri Agong. Itu keunikan Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Kampung Baru, Sabtu ini.

Disediakan sendiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ia antara tiga jenis bubur lambuk yang akan dimasak 70 masjid di Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, pada program julung itu, sebanyak 71 kawah bubur dimasak termasuk Bubur Lambuk Kampung Baru dan Bubur Lambuk Johor.

Katanya, ia dijalankan dengan kerjasama rakan strategik seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat, Masjid Jamek Kampung Baru, masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dan Persatuan Anak Johor.

“Menerusi program ini, kita mahu sebarkan peranan masjid bukan saja sebagai tempat ibadat, malah skopnya lebih luas sebagai tempat penyatuan ummah dan masyarakat.

“Selain menyediakan menu berbuka untuk anak kariah, ia juga dapat menimbulkan perasaan peka dan prihatin terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan untuk berbuka puasa selaras konsep rahmah yang dibawa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan 2019.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru Datuk Idris Shaari Mat Aris.

Mohd Ajib berkata, kerja memasak bermula 9 pagi dan bubur berkenaan diagihkan oleh masjid kepada anak kariah masing-masing termasuk di sekitar Kampung Baru.

Sementara itu, Idris berkata, kesudian baginda berangkat dan menyediakan sendiri juadah di Masjid Jamek Kampung Baru adalah pengiktirafan kepada seluruh jawatankuasa serta anak kariah.

Katanya, masjid berkenaan beberapa kali menerima tetamu diraja, namun kali ini lebih istimewa kerana Raja Permaisuri Agong sendiri mencemar duli bersama dalam program itu.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar, biasanya kami masak antara 15 hingga 20 periuk, tapi kali ini 71 kawah.

“Jadi saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengambil bubur lambuk yang diagihkan nanti dan insya-Allah kita akan teruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sumber : HM

Harga Petrol Diesel Semasa

HARGA runcit petrol RON97 turun 10 sen pada harga RM2.70 seliter manakala RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 11 hingga 17 Mei ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama masing-masing sepatutnya RM2.40 seliter dan RM2.45 seliter.

“Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Anggaran subsidi perlu ditanggung kerajaan dalam tempoh 11 Mei hingga 17 Mei 2019 berjumlah RM103.76 juta masing-masing RM77.44 juta bagi RON95 dan RM26.32 juta bagi diesel.

Sumber : HM

Wawasan 2020 tersasar, ganti Wawasan 2025

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan sasaran baharu untuk Malaysia menjadi negara maju dan contoh kepada dunia menerusi Wawasan 2025, lima tahun terlewat berbanding Wawasan 2020 yang diilhamkannya hampir 30 tahun lalu.

Sasaran baharu itu, katanya, adalah kerana Wawasan 2020 yang digariskan beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sehingga 2003, sudah tersasar daripada objektif asal.

Tanpa menyebut sebarang nama, Dr Mahathir berkata, selepas beliau meletak jawatan Perdana Menteri pada 2003, penggantinya memastikan objektif Wawasan 2020 tidak tercapai.

“Wawasan 2025 (ketika ditanya adakah Wawasan 2020 masih berada di landasan betul dan mampu dicapai dalam tempoh setahun lagi), sebab pengganti saya memastikan kita tak boleh capai objektif (Wawasan 2020),” katanya dalam wawancara bersama media sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Wawasan 2020 adalah dasar pandangan jauh dikemukakan Dr Mahathir ketika membentangkan kertas kerja khas bertajuk ‘Malaysia: Langkah Ke Hadapan’ pada persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 1 Mei 1991.

Ia mempunyai rencana jangka panjang arah masa depan negara dan cara mencapai matlamat membangunkan Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Menurut wawasan itu, Malaysia mampu menjadi negara bersatu dengan masyarakat yang yakin, ada nilai moral dan etika kukuh, hidup dalam masyarakat demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur serta mempunyai penguasaan sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing, dinamik, giat dan kental.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu selama 22 tahun, paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara. Dikenali sebagai ‘Bapa Pemodenan’ atas kejayaan menukarkan Malaysia dari negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Beliau meletak jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, namun kembali aktif dalam politik apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menandingi Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, PH yang dibarisi BERSATU, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan Dr Mahathir selaku pengerusinya, merekodkan kejutan politik apabila menumbangkan BN dan pada usia 93 tahun, beliau dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Mengenai tempoh genap setahun menjadi Perdana Menteri buat kali kedua di bawah kerajaan berlainan, Dr Mahathir berkata, beliau bersyukur kerana pada usia 94 tahun, masih boleh berfikir dengan baik serta menjawab ‘soalan nakal’ wartawan.

“Setakat saya tahu, daripada ramai pemimpin di dunia, saya tak fikir saya lebih teruk daripada (Donald) Trump (Presiden Amerika Syarikat) atau pemimpin British, Perancis dan Sepanyol. Untuk perbandingan, saya tak fikir saya teruk. Boleh kamu (wartawan) beritahu pemimpin (dunia) mana buat lebih baik daripada saya?”

Ditanya adakah beliau melihat usia 94 tahun memberi kelebihan dalam memimpin kerajaan, Dr Mahathir berkata: “Saya tak fikir ia beri kelebihan, tetapi saya ada lebih pengalaman, 22 tahun jadi Perdana Menteri adalah suatu pengalaman terbaik yang banyak mengajar saya (menjadi Perdana Menteri kali kedua).”

Beliau juga enggan memberi penilaian atau markah kepada diri sendiri berhubung prestasi kerajaan PH pimpinannya selepas setahun menumbangkan BN.

“Saya biasanya tak beri penarafan kepada diri sendiri, orang lain yang menilai (kerja) saya. Anda (wartawan) nilai saya bagaimana? Berapa (markah) daripada 10?,” tanya Perdana Menteri.

Sumber: BH

Tiada jodoh, Atikah tak dapat tunjuk skil masak

KUALA LUMPUR: Hasrat memasak untuk suami pada Ramadan tinggal impian buat pelakon berasal dari Singapura, Atikah Suhaime.

Jika mengikut perancangan, Atikah sudah menjadi isteri kepada penyanyi, Awi Rafael andai mereka diijabkabulkan pada 17 Mac lalu. Namun, sudah tiada jodoh, ikatan mereka terlerai sebelum sempat disatukan.

Meluahkan perasaan, pelakon filem Volkswagen Kuning itu membayangkan keseronokan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri terutama memasak untuk suami sepanjang Ramadan.

“Saya melalui tahun yang sangat mencabar… Ramadan, terima kasih kerana hadir kembali.

“Difikirkan, tahun ini, saya dapat menunjukkan skil memasak kepada suami, namun, ia tidak mungkin berlaku.

“Nampaknya, bahagian saya masih berada di dapur dan membasuh pinggan mangkuk serta membantu ibu,” katanya berkongsi entri di Instagram.

Pertengahan Februari lalu, Awi mengumumkan majlis pernikahan dengan Atikah yang sepatutnya berlangsung di Singapura pada 17 Mac lalu, dibatalkan.

Awi menjelaskan, dia dan Atikah berdepan dugaan hingga majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan.

Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime, 28, akur impian menunaikan ibadat puasa bersama insan tersayang, tidak kesampaian.

Sementara itu, status Atikah menarik perhatian netizen yang rata-rata berharap aktres itu tabah berdepan dugaan.

Malah, ada peminat cuba menghiburkan Atikah dengan memintanya memasak untuk mereka termasuk pelakon, Afifah Nasir.

“Awak masaklah untuk saya ya… Jom masak untuk berbuka nanti,” kata Afifah.

Sumber : BH