Nelydia selamat bergelar isteri

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon, Nelydia Senrose, 24, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, jam 3.28 petang tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin, dengan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd Hamid, dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Sebelum acara akad nikah, majlis yang yang dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada anggota keluarga dan kenalan rapat kedua-dua pihak menyaksikan Nelydia dan Hafez ditunangkan sebagai memenuhi syarat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail, Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen bersyukur segala perancangan sejak awal tahun berjalan lancar.

“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

“Allah memakbulkan doa saya ketika di Tanah Suci Makkah, termasuk dalam soal jodoh. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan terbabit bersua buat kali pertama pada 6 April 2017. Setahun kemudian Hafez melamar Nelydia di Amsterdam, Belanda.

“Asalnya, kami merancang untuk berkahwin pada tahun lalu. Begitupun, ada sahaja kekangan yang menghalang hasrat itu.

“Namun, di sebalik ujian dan halangan, saya serta suami melaluinya dengan baik. Sekembali daripada mengerjakan umrah, 5 Januari lalu, saya dan Hafez memutuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan kami terus memulakan persiapan,” kata Nelydia sambil menyifatkan pasangannya itu seorang yang menenangkan hati, selain melengkapi kehidupannya.

Esok, pasangan ini bakal diraikan dalam majlis resepsi yang akan berlangsung di lokasi sama.

Jika tiada aral melintang, kata bintang Encik Suami Mat Salih Celup itu, sebuah majlis keraian akan turut diadakan di Kelantan pada musim Aidilfitri nanti.

Sumber: BH

Isu M!sterii Dilaila Ciplak Filem Hollywood, Yusof Haslam Mohon Ruang

KUALA LUMPUR – Penerbit filem M!sterii Dilaila, Datuk Yusof Haslam memohon agar khalayak memberi ruang kepada anaknya, pengarah Syafiq Yusof berhubung dakwaan yang mengatakan filem arahan Syafiq, Misteri Dilaila dikatakan mencip-lak filem Hollywood, Vanishing Act.

Yusof ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, pihak Skop Production enggan mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah faham.

“Buat masa ini, saya mohon supaya semua pihak memberi ruang kepada anak saya dan Skop Production.

“Kami akan memberi kenyataan rasmi mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, menerusi laman Twitter, netizen menuduh Syafiq mencip lak jalan cerita filem Vanishing Act yang diterbitkan pada 1986.

Filem M!sterii Dilaila mula ditayangkan di pawagam pada 21 Februari lalu. – K! ONLINE

Oktovia Manrose Mengaku!!

“KEPADA Bella Astillah, saya tidak mahu menegakkan benang basah. Saya mahu minta maaf dengan apa yang berlaku,” tulis pelakon Oktovia Manrose di IG Story mengenai dakwaan yang mengaitkan dirinya terhadap kecurangan Aliff Aziz, suami Bella.

Menerusi entri itu, Oktovia mengakui dia tidak sepatutnya keluar dengan suami orang dan memberikan apa-apa kenyataan mengenai kerana jelas dia yang bersalah.

“Apa yang berlaku memang sangat-sangat salah. Saya akui itu. Saya tidak patut keluar dengan suami orang.

“Saya tidak patut keluarkan apa-apa kenyataan kerana sudah terang saya yang salah.

“Saya tidak patut campur urusan awak dan suami. Saya tidak patut ceritakan hal rumah tangga awak. Saya harap awak dan Aliff boleh selesaikan dengan cara baik.

“Baik-baik bincang. Saya doakan yang terbaik untuk awak dan keluarga. Amin, InsyaAllah,” katanya.

Anak kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan itu menjelaskan dia berkelakuan sebegitu adalah disebabkan terkejut dengan kata-kata kasar daripada netizen.

“Tadi saya jawab begitu kerana terkejut dengan kecaman netizen sampai buat saya melantun. Ia sangat menyakitkan, tetapi memang patut pun saya dapat semua itu.

“Hari ini adalah hari paling besar dalam hidup saya. Hidup paling bersejarah. Tidak terfikir dan rancang semua ini berlaku.

“Tapi, ia sudah terjadi. Saya sedar ini kekhilafan dari saya. Saya manusia biasa yang takkan lari dari buat silap,” katanya.

Terdahulu, Bella menerusi akaun Instagramnya mendakwa bahawa Aliff berlaku curang dengan Oktovia serta turut memuatnaik perbualan daripada seseorang yang mengatakan dia melihat suaminya dan pelakon itu di sebuah kelab malam sebagai bukti.

Sebelum ini, Aliff pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa berlaku curang dengan seorang pelakon ketika menjalani penggambaran sebuah bersama.

Aliff dan Bella berkahwin pada September 2016 dan dikurniakan cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Sumber : HM

Amaran Terakhir Sultan Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang menteri yang dikatakan berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Baginda bertitah, peraturan bagi semua masjid di Johor adalah tidak ada sesiapa dibenarkan berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya kecuali yang mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sultan Ibrahim bertitah, pemimpin politik berkenaan yang juga seorang Ahli Parlimen dan menteri Kabinet perlu segera menghadap Baginda serta memohon maaf secara bersurat dan tidak mengulangi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini adalah tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titahnya kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahma dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Md Rofiki A Shamsudin.

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang pemimpin politik berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Sultan Ibrahim bertitah, semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid perlu sentiasa mematuhi peraturan dikeluarkan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab memastikan perkara itu berulang.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin berkenaan sedar akan kesilapan yang dibuat dan segera meminta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titahnya.

Sumber: HM

YB Syed Saddiq Dakwa “Diser4ng” Penyokong BN

WALAUPUN proses penamaan calon berjalan dengan cepat dan lancar, beberapa insiden kurang menyenangkan telah merosakkan suasana di Pusat Penamaan Calon di Semenyih, Selangor.

Tidak lama selepas empat calon pilihan raya kecil (PRK) Semenyih diumumkan, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau hampir diserang oleh penyokong Barisan Nasional (BN) ketika meninggalkan pusat penamaan pada pukul 11.05 pagi Sabtu.

Beliau kemudian membuat laporan polis di balai polis Sungai Way.

Syed Saddiq mendakwa ahli exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papagomo mengepungnya dari laluan berbeza dan mengepit kepala beliau (headlock).

“Saya berjalan ke kereta saya bersama tiga orang lagi, ketika kejadian itu berlaku.

“Pada mulanya, penyokong Barisan hanya mengejek saya, jadi saya tidak menghiraukan yang mereka katakan dan teruskan berjalan,” kata Syed Saddiq.

Menteri Belia dan Sukan berkata, anggota polis berdekatan berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius.

Bagaimanapun, Wan Muhammad Azri menyangkal dakwaan ahli Parlimen Muar tersebut menerusi posting terbaharunya di Facebook.

“Saya tak cekak dengan aksi ganas pun tadi YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tu, Boss.

“Saya peluk dia dengan lembut untuk selamatkan dia dari kekecohan.

“Tak sangka YB Menteri menipu macam tu sekali. Siap kata Saya ugut dia pulak.

“Saya just (hanya) cakap “Kau ni bodoh lah bro”. Takkan cakap Bodoh kira ugutan?,” tulisnya pada catatan tersebut.

Sumber: mstar

Suhaimi Saad “Perlekeh” Angkasawan Negara

Semalam kecoh di media sosial apabila bekas anggota kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad apabila mencabar angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor untuk bersumpah dengan nama Allah bahawa bumi itu bulat sfera.

Susulan itu, Dr Sheikh tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi yang menjadi keraguan segelintir pihak yang mendakwa bumi itu berbentuk mendatar.

Menurutnya, sebagai angkasawan Islam kesembilan yang menerokai angkasa lepas, hatinya terdetik untuk menjawab mengenai persoalan tersebut dan menceritakan fakta sebenar.

“Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.

“Setiap manusia perlu ke angkasa lepas sekiranya mempunyai peluang. Pastinya kunjungan anda ke angkasa lepas akan mengubah perspektif anda tehadap kehidupan secara keseluruhannya. Anda pastinya akan percaya dengan ciptaan-Nya. Pengalaman tersebut sangatlah memukau dan menakjubkan.

“Sukar untuk mengubah persepsi mereka golongan ‘flat earth’. Tetapi apa yang saya kongsikan adalah pengalaman saya dan apa yang saya lihat. Dengan nama Allah semua ini datang dari hati saya,” tulisnya.

Bagaimanapun, Suhaimi Saad mendakwa angkasawan negara itu tidak menyahut cabarannya untuk bersumpah mengatakan bumi ini berbentuk sfera. Ujarnya lagi, Dr Sheikh hanya menyebut lafaz zikir apabila menegaskan bahawa bumi ini memang berbentuk sfera.

“Mungkin doktor tak berapa jelas apa yang ss maksudkan dengan sumpah. Walaupun sebenarnya saya dah tulis dengan jelas. Masya Allah..SubhanAllah dan In the name of Allah bukanlah lafaz sumpah itu zikir biasa.

“Takpalah. SS cuma cabar sahaja. SS tak paksa pun Dr sumpah. Mungkin Dr tak suka bersumpah. #husnuzon,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi memberitahu  dia tidak akan menghentikan kajiannya dan akan terus berpegang pada fahamannya itu. Ujarnya lagi, dia juga tidak dapat menyampaikan dakwah kepada golongan ‘Flat Earth’ yang mempercayai bumi ini sebenarnya rata.

Sumber: Rotikaya

Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Jumpa Kaunseling JAWI?

Baru-baru ini timbul khabar angin mendakwa rumah tangga Sharnaaz Ahmad dan isterinya, Noor Nabila goyah.  Kisah rumah tangganya mula diperkatakan netizen berikutan sejak kebelakangan ini Sharnaaz dilihat sering memuat naik kapsyen seolah dalam keadaan sedih mencetuskan tanda tanya.

Hasil carian netizen juga mendapati, Sharnaaz dan Nabila juga dilihat tidak lagi mengikuti antara satu sama lain di akaun Instagram. Malah, timbul pula khabar angin mengejutkan apabila baru-baru ini pasangan tersebut dikhabarkan berjumpa dengan kaunseling di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menerusi Instagram @makcik_puaka, seorang individu mendedahkan Sharnaaz ke JAWI dan Nabila juga dikatakan turut hadir bersama bapa tirinya.

“Serba salah sebenarnya nak cakap. Actually Sharnaaz ada rujuk dengan kaunseling dekat JAWI hari tu Sebab mak iolls ada keje kat sana Dia cakap ada nampak Sharnaaz tu datang JAWI tettt wallahualam.

“Betik mak iolls keje JAWI yang bagitahu Sharnaaz datang JAWI untuk kaunseling. Then Nabila pegi dengan bapa tiri dia,” tulis individu tersebut.

Bagaimanapun setakat ini masih tiada penjelasan lanjut daripada kedua-dua pihak berhubung dakwaan tersebut. Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Jebat Jayden.

Sumber: Rotikaya

Bekas Pemain Johor FA Kini Gelandangan

PADA era kegemilangannya selaku pemain bola sepak profesional sekitar 90-an, beliau mampu meraih pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan dan menjalani kehidupan serba mewah.

Selepas 20 tahun berlalu, kehidupannya berubah 180 darjah dengan menjalani kehidupan gelandangan.

Itu nasib dilalui Anuar Arifin, 50, apabila bekas pemain Johor FA ini yang pernah menjulang Piala Malaysia dan Liga Perdana bersama skuad itu pada 1991, kini hanya mampu menjadikan keretanya tempat berteduh selepas tidak mampu menyewa rumah.

Segalanya bermula kira-kira lima tahun lalu selepas anak kelahiran Kemaman itu kehilangan ibu bapanya sebelum dihalau daripada rumah sewanya disebabkan tidak mampu melunaskan bayaran bulanan sewa rumah.

Ketika ditemui di Chendor, Kuantan, Anuar menceritakan kesukaran yang dilaluinya apabila tidak mempunyai pendapatan tetap selepas bersara daripada bermain bola sepak pada 1997.

“Lepas bersara main bola, saya ada berniaga jual ikan tapi berapa sangat pendapatan yang saya dapat. Ketika masih bermain, kehidupan saya mewah kerana menerima gaji yang besar.

“Namun, kesilapan saya tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik ketika itu menyebabkan kini menjadi gelandangan dan hidup tidak terurus,” katanya.

Bapa kepada dua anak ini memberitahu, dia mula menjadikan kereta Proton Wiranya sebagai rumah sejak lima tahun lalu selepas tidak lagi mempunyai tempat tinggal.

Katanya, segala kelengkapan harian seperti pakaian akan digantung di dalam kereta dan menjadikan tandas awam sebagai bilik mandinya.

“Bila malam, saya akan bawa kereta di kawasan bawah jambatan atau kawasan parkir kereta untuk tidur. Duit harap ihsan kawan-kawan yang nak bagi,” katanya.

Anuar yang pernah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada 1992, mengakui kegagalannya menyempurnakan tanggung jawab sebagai suami dan bapa menyebabkan rumah tangga yang dibina berakhir dengan perceraian pada 2012.

“Dua anak lelaki saya berusia 15 dan 17 tahun kini dijaga saudara dan mereka juga tidak bersekolah,” katanya.

Anuar yang memulakan kerjaya bola sepak bersama skuad Piala Presiden Terengganu pada 1985 berkata, faktor kecederaan kaki kanannya pada 1995 memaksa beliau bersara awal.

Katanya, kecederaan yang ‘menghantuinya’ itu menyebabkan dia tidak dapat bermain dengan cergas dan sering disisihkan pasukan sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 1997.

Beliau yang pernah menyarung jersi skuad Pahang, Terengganu, Sarawak dan Melaka selain mengecapi kejayaan manis bersama Johor FA pada 1991 memaklumkan, kini melakukan kerja sambilan dengan pendapatan harian yang tidak sampai RM30.

“Saya kerja tolong-tolong kawan di premis snuker, boleh untuk tampung duit makan harian selain kawan turut bantu hulurkan duit jika tahu saya tiada wang,” katanya.

Bekas pemain tengah itu mempunyai harapan besar sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membantu bekas pemain bola sepak yang kini hidup dalam keadaan daif sepertinya dengan mewujudkan pelbagai peluang menerusi pengalaman yang dimiliki mereka.

Sumber: HM

Fathia Latiff Alami Gangguan Mental?

Minggu lalu timbul kekecohan di media sosial apabila sebuah video menunjukkan seorang wanita berambut pendek mirip pelakon Fathia Latiff tersebar. Susulan penularan gambar tersebut, rata-rata peminatnya kecewa dan tertanya-tanya mengapa artis kesayangan mereka jadi begitu.

Bagaimanapun, baru-baru ini dalam satu temu bual khas bersama Kosmo!, Fathia mendedahkan tentang penyakit yang dihidapinya. Ujarnya, doktor turut menyarankannya merujuk dengan pakar psikiatri serta melakukan pemeriksaan berkaitan tahap mentalnya.

Namun, Fathia menegaskan dia lebih tahu tahap kesihatannya dan tidak memerlukan sebarang rawatan.

“Saya pernah dinasihatkan dan diarahkan doktor untuk mendapatkan rawatan berkenaan dengan gejala gangguan bipolar yang mungkin dialami.

“Saya tidak memerlukan itu semua dan memutuskan secara muktamad untuk tidak akan melakukannya. Lagipun saya tahu tahap kesihatan diri sendiri selain masih mampu menguruskan diri sendiri tanpa memerlukan sebarang rawatan.

“Justeru, sebelum ini, doktor ada sarankan saya untuk melakukan rawatan lanjut dan merujuk dengan pakar psikiatri, namun saya menolak untuk tidak berbuat demikian kerana tahu tahap kesihatan serta mentaliti diri sendiri,” ujarnya.

Apa pun diharap Fathia akan terbuka hati untuk melakukan rawatan kerana masih ramai peminat-peminat diluar sana yang masih menyayanginya dan sentiasa memberikan sokongan. Doakan yang baik-baik sahaja untuk Fathia.

Sumber: Rotikaya

Ini Alasan Emma Buka Tudung

Dalam satu temubual pertama bersama media selepas mengumumkan yang beliau kini sudah tidak bertudung, Emma Maembong memberikan reaksi pertama beliau terhadap apa yang sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai ketika ini.

Emma Maembong berkata beliau tidak mahu menyalahkan mana mana pihak atas keputusan untuk tidak bertudung ini namun berkali kali mengatakan yang komen dari orang ramai menyukarkan dirinya untuk terus istiqamah.

“Kadang kadang kita sebagai manusia bila mana kita berada di bawah (lowest point), lagi orang doakan benda buruk terjadi pada kita — memang yang buruklah terjadi pada kita”

“Kalau orang lebih positif dan doakan yang baik baik mungkin saya akan teruskan (bertudung) tapi saya bukan nak salahkan mana mana pihak,” ujar Emma Maembong.

“Nak ambil hati dan jaga hati semua orang tidak boleh jadi saya buat keputusan untuk diri saya sendiri,” tambahnya lagi.

Tonton temubual penuh bersama Berita Harian dalam video di atas dan semoga Emma Maembong gembira dengan keputusan yang dibuat dan tidak perlu lagi berselindung untuk mencari kebahagian diri sendiri.

Sumber: Rotikaya