Dah macam askar!

“MEMANG seram naik Barracuda… dah macam nak pergi pe*rang, bukan main bola.” Itu reaksi spontan bekas penye*rang kebangsaan, Safee Sali yang pernah menaiki kereta perisai Barracuda bersama skuad Harimau Malaya ketika aksi akhir Piala AFF 2010 menentang Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Dia yang ketika itu membantu negara menewaskan skuad Garuda menerusi agregat 4-2 mengaku tidak pernah terlintas di fikiran untuk menaiki Barracuda yang selalunya digunakan tentera atau polis.

Katanya, dengan ruang dalaman agak sempit dan hanya boleh memuatkan 6-7 orang serta bau yang tidak menyenangkan, ia sama sekali jauh berbeza dengan menaiki bas untuk ke stadium.

“Kita tahu penyokong Indonesia memang ramai kalau perlawanan menentang Malaysia sebab ia bukan perlawanan biasa. Apabila terlalu ramai, kadang kala timbul pelbagai tindakan dan provokasi yang boleh mencetuskan hal-hal keselamatan dan sebab itu kami (skuad Piala AFF 2010) diarahkan untuk naik Barracuda ke stadium dan balik semula ke hotel.

“Macam nak pergi berpe*rang pun ada… pengalaman yang menakutkan. Kita nak pergi main bola, bukan untuk perkara lain. Dari segi keselesaan, memang jauh berbanding menaiki bas. Dari segi psikologi juga tak bagus untuk pemain.

“Untuk fokus juga tak begitu baik kerana ia akan mengganggu tumpuan pemain yang sepatutnya berada dalam keadaan lebih selesa untuk perlawanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, menerusi laporan Arena Metro menyebut wujud kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan kebangsaan apabila bertandang ke Jakarta bagi menghadapi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September ini.

Berdasarkan rekod, pertembungan kedua-dua pasukan sentiasa berlangsung dalam suasana tegang membabitkan penyokong di negara jiran itu di mana skuad Harimau Malaya terpaksa menaiki Barracuda sebanyak dua kali iaitu pada final Piala AFF 2010 dan final Sukan SEA 2011.

Safee, 35, yang pernah beraksi di Liga Indonesia bersama kelab Pelita Jaya pada 2010 tampil mencadangkan supaya pihak berwajib menyediakan laluan khas kepada pasukan agar tidak bertembung dengan penyokong tuan rumah.

“Dalam soal ini, mereka (pihak berwajib) kena buat jangkaan dan perancangan teliti seperti laluan khas untuk pemain ke stadium. Ia bagi mengelak fokus dan tumpuan terganggu disebabkan oleh penyokong,” kata bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu.

Sumber : HM