DAP jangan melampau!

ARAU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan mengkritik tindakan segelintir pemimpin DAP yang berpolitik secara melampau hingga melabelkan pihak tertentu sebagai Taliban atau ekstremis.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang politik tetapi adalah tidak wajar menggambarkan secara melampau kerjasama PAS dan UMNO.

“DAP, janganlah membuat tuduhan berlebihan terhadap PAS seperti Taliban kerana apa yang dilakukan PAS dan UMNO adalah kerjasama berkaitan politik.

“Kerjasama mereka tidak membabitkan sebarang unsur ekstremisme, malah di Malaysia, ia tidak sampai ke tahap itu.

“Kena ingat, saya datang daripada PAS dan hasil acuan daripada PAS. Apa yang PAS buat, saya masih menghormati PAS. Apabila menuduh PAS ekstrem itu tidak kenalah. Jangan semua kita cat dengan warna yang sama,” katanya yang ditemui selepas merasmikan program Jom Masuk Universiti di Kolej Vokasional Arau di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman membabitkan kerjasama PAS dan UMNO termasuk mengaitkan isu tembakan di beberapa masjid di Christchurch, New Zealand hingga menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan rakyat negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggambarkan kerjasama dua parti itu sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Islam sebelum menarik balik frasa ‘pengisytiharan perang’ itu.

Susulan itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.

Semalam, seorang lagi pemimpin DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan kes pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan PAS sebelum bertindak menarik balik kenyataan.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengakui dirinya amat mengenali cara kerja dan kepemimpinan PAS yang tidak wajar dilabel sebagai Taliban.

“Dalam kalangan pemimpin PAS, mungkin ada yang semangat sikit, mungkin ada yang lebih rasional, tak semua buruk dan semua baik.

“Tak adil menuduh PAS semuanya tidak elok kerana mahu bermain politik semata-mata,” katanya.

Sumber: BH