Destinasi Amri Yahya terjawab?

Bekas kapten Selangor, Amri Yahyah, berkemungkinan akan menyarung jersi Kelantan apabila pengarah urusan TRW SDN. BHD, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, mengakui pihaknya sedang mengadakan perbincangan serius untuk mendapatkan pemain veteran itu.

Masa depan Amri menjadi tanda tanya apabila memilih untuk meninggalkan pasukan negeri kelahirannya, Selangor.

Selain dikaitkan dengan beberapa pasukan seperti Perak, Petaling Jaya City FC dan pasukan daripada Liga M3, khidmatnya turut diintai skuad The Red Warriors berkenaan.

Ia selepas pasukan kendalian Yusri Che Lah itu turut dibarisi pemain senior lain seperti Nazrin Nawi dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria

“Ada perbincangan tetapi masih belum ada kata putus.

“Ada perhubungan di antara kedua-dua pihak tetapi masih tiada kata putus.

“Insya-Allah, pemain yang dimiliki jurulatih Yusri Che Lah mampu bersaing dengan pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, Yusri mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai spekulasi berkenaan.

“Saya tiada komen kerana saya tidak tahu-menahu dan hanya menyedarinya melalui media sahaja.

“Tetapi adalah tidak adil untuk saya membuat kesimpulan atau pandangan mengenai Amri Yahyah.

“Saya tidak dapat maklumat mengenainya,” tambahnya.