Gomez Kembali?

KUALA LUMPUR: Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Mario Gomez mendedahkan ada pasukan Liga Malaysia (Liga M) menghubunginya.

Walaupun enggan mendedahkan pasukan mana, Gomez yang tidak melatih mana-mana pasukan sejak ditamatkan kontrakoleh  Persib Bandung Disember lalu, tidak menolak untuk kembali ke Malaysia.

“Ada wakil dari Malaysia menghubungi saya tetapi saya tidak mahu bercerita lebih. Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak,” kata Gomez yang membantu JDT menjulang Piala AFC pada tahun 2015.

“Seperti saya katakan tadi, saya tidak mahu bercakap lebih tetapi jika tawaran itu ada, sudah pasti saya gembira untuk kembali melatih pasukan di Liga Malaysia.

“Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga Malaysia), saya akan umumkan tetapi buat masa ini, tiada apa-apa ‘hitam putih’ (dalam perjanjian).”

Gomez berkata Liga M sentiasa di dalam hatinya dan mengakui berminat untuk kembali.

“Liga M sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis saya bersama JDT. Tipu jika saya katakan tidak berminat untuk kembali Liga Malaysia.

“Liga M memiliki tarikan tersendiri. Imej Liga M semakin terkenal dan ramai pemain khusus dari Asia Tenggara mahu bermain di sini. Jadi, sudah pasti saya mahu kembali jika dapat peluang itu,” katanya.

Sumber : BH