Huawei secara rasmi disenara!h!tamkan

WASHINGTON/NEW YORK: Pentadbiran Trump secara rasminya menyenarai h!tam Huawei Technologies Co Ltd dari China, sekali gus akan menyukarkan lagi gergasi telekomunikasi itu untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat Amerika Syarikat (AS).

Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan peraturan yang meletakkan Huawei dan 68 sekutunya di lebih dua belas negara dalam Senarai Entiti, langkah yang menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.

Mendapatkan kelulusan sedemikian tidak akan mudah.

Ini kerana kerajaan AS akan mengkaji semula permohonan lesen di bawah “andaian ia akan dinafikan”, demikian mengikut catatan pada Daftar Persekutuan.

Perintah itu berkuat kuasa dengan serta-merta, kata jurucakap Jabatan Perdagangan, walaupun ia tidak akan diterbitkan secara rasmi dalam Daftar Persekutuan sehingga Selasa.

Huawei, pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar di dunia, tidak memberi maklum balas segera ketika diminta memberikan ulasan.

Tindakan itu berlaku apabila kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perangan tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

AS percaya telefon pintar Huawei dan peralatan rangkaian boleh digunakan China untuk mengintip rakyat AS, tuduhan yang berulang kali dinafikan Huawei.

Jabatan Perdagangan AS terlebih dulu mengeluarkan notis Rabu lalu bahawa ia menambah Huawei ke dalam senarai h!tam itu.

Huawei “terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan keselamatan negara atau kepentingan dasar luar AS,” kata perintah itu.

Sebagai contoh, perintah itu menyebut kes jenayah yang ditangguhkan terhadap syarikat itu di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, atas tuduhan Huawei melanggar sekatan AS terhadap Iran.

Huawei mengaku tidak bersalah dalam kes itu.

Ia juga mendakwa Huawei “bertindak dengan menipu dan menghalang.”

Ahli Kongres dan pegawai pentadbiran berkata langkah itu akan menyukarkan Huawei untuk menjual produknya kerana pergantungannya kepada pembekal AS. – Reuters

Sumber : BH