Jangan nak mengaku “Hero”

BUKIT JALIL: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bola sepak negara tidak akan ke mana-mana sekiranya kementeriannya bersikap bodoh sombong dan merasakan serba tahu dalam segala hal sukan berkenaan.

Syed Saddiq bertegas tiada siapa boleh berlagak sebagai ‘hero’ dalam usaha mengubah landskap bola sepak negara termasuk daripada pihaknya menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Katanya, tidak kira siapa melaksanakan program untuk sukan berkenaan, ia tidak boleh digerakkan secara bersendirian kerana pasti akan membabitkan pihak lain.

Untuk itu, Saddiq bertegas pihaknya juga memerlukan kerjasama dengan semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh sombong seperti kita tahu semua. Agak penting untuk kita jalin kerjasama dengan semua pihak khususnya mereka yang ikhlas bagi memastikan bola sepak kita dapat ditambah baik.

“Kerana untuk membangunkan bola sepak negara kita. Satu pihak saja tidak mencukupi untuk kita melangkah dan kita perlu bergerak seperti keluarga.

“Kita senang bersama-sama, kita susah pun bersama-sama. Jadi ini usaha strategik kita usahakan bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal; Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes.

Perjanjian dimeterai antara FAM dan PSM itu akan menyaksikan semua perlawanan tempat sendiri skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perjanjian itu membabitkan tempoh hingga Disember 2020 namun boleh dilanjutkan dua tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022, jika kedua-dua pihak berjaya mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun mengikut perjanjian itu, skuad Harimau Malaya dibenarkan beraksi di stadium-stadium lain di seluruh negara jika ia hanya membabitkan perlawanan-perlawanan persahabatan.

Dalam masa sama, Syed Saddiq menyambut baik usaha untuk menjual tiket aksi Harimau Malaya secara dalam talian kerana ia dilihat memudahkan penyokong tanpa perlu berebut atau beratur panjang seperti berlaku sebelum ini.

“Saya masih ingat, saya pernah beratur hingga tiga jam untuk membeli tiket perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan tetapi akhirnya tiket habis,” katanya.

Sumber : BH