Jenalti hadir di Larkin penyokong pula hambar

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila menjinakkan UiTM FC 3-1 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Tetapi kemenangan itu terencat dengan hanya kira-kira 5,860 penyokong hadir menyaksikan perlawanan itu dan bagaikan tidak menghargai usaha pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Penyokong seharusnya sentiasa berada di belakang pasukan JDT yang dahagakan sokongan padu untuk terus menyerlah mengharungi kempen piala berprestij itu dalam usaha mengulangi kejayaan memenanginya dua musim lalu.

Pada pertembungan itu, skuad Harimau Selatan jelas menguasai perlawanan apabila kerap mengasak ke kubu skuad The Lion Troops menerusi percubaan Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera untuk memburu gol awal.

Tuan rumah berada di depan pada minit ke-15 apabila bola sepakan lintang Nazmi Faiz Mansor tepat kepada Diogo Luis Santo yang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris.

Selepas gol pertama terhasil, tuan rumah terus menggandakan se*rangan untuk menambah jaringan namun tindakan anak didik Ismail Zakaria yang mengamalkan corak berkampung di kawasan sendiri menyulitkan usaha itu.

Sebaik babak kedua bermula, anak didik Benjamin Mora beraksi garang untuk menggempur benteng lawan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-58 namun bola sepakan kencang Safawi sekadar sipi dari gawang gol.

Pelawat mengundang cemas selang seminit kemudian apabila Park Yong-jun berjaya meloloskan diri daripada perangkap ofsaid dan sempat menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan namun kepantasan Mauricio Santos mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyelamatkan gawang tuan rumah.

Tindakan Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawani menjatuhkan pemain gantian, Akhyar Rashid pada minit ke-64 menyaksikan pengadil, Suhaizi Shukri tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti.

Safawi yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu merembat bola leret tepat ke penjuru kiri menewaskan Muhamad Nor Haziq untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0.

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan Santo mencetak gol kedua peribadi apabila menanduk bola hasil umpanan pemain gantian Leandro Velazquez dan pelawat cuba bangkit menerusi jaringan kapten Zarko Korac namun sudah terlewat tatkala tuan rumah menang selesa 3-1 mengatasi UiTM FC.

Sumber : BH