Jerman tunjuk taring lawan Belarus

BORISOV (Belarus): Penolong jurulatih Jerman, Marcus Sorg memuji persembahan “mengagumkan” pasukannya selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Belarus pada perlawanan kelayakan Euro 2020 di Borisov.

Dengan Joachim Loew masih menjalani pemulihan selepas tercedera di gimnasium, Sorg membantu pemain muda Jerman untuk menundukkan Belarus.

“Ia sedikit luar biasa hari ini tetapi keseluruhannya semua berjalan lancar. Kami tak sabar menantikan kepulangan semula Jogi,” kata Sorg.

“Ia adalah persembahan mengagumkan hari ini dan masih boleh dibaiki.”

Leroy Sane dan Marco Reus masing-masing menjaringkan satu gol dalam persembahan yang didominasi Jerman apabila membuat 23 percubaan berbanding Belarus dengan hanya enam percubaan.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Jerman kini di kedudukan kedua Kumpulan C dengan satu perlawanan kurang berbanding pendahulu kumpulan, Ireland Utara yang menewaskan Estonia 2-1.

Jerman tidak mensia-siakan peluang sejak sepak mula dengan gol pembukaan hadir pada minit ke-12. Joshua Kimmich membuat hantaran kepada Sane di dalam kotak penalti dan pemain sayap Manchester City itu mer3mbat k3ncang untuk meletakkan Jerman di depan.

Biarpun pasukan muda itu diuji kemudiannya, Jerman kembali bangkit pada babak kedua dengan Reus melebarkan jurang pada minit ke-62. – AFP

Sumber : BH