Jurulatih Kedah berang!

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak menganggap kekalahan 0-2 skuadnya kepada Terengganu FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam sebagai satu keputusan yang sukar diterima.

“Saya rasa peluang kami terbanyak untuk mendapatkan gol pada separuh masa kedua dengan sekurang-kurangya tujuh hingga lapan peluang terhidang untuk mencipta jaringan.”

“Inilah bola sepak, kita kalah pertama kali pada musim ini di Darul Aman dengan lebih 10 percubaan tidak masuk walaupun satu gol dan mungkin nasib tidak menyelebahi kami pada perlawanan malam ini.

“Semua pemain sudah beri 100 peratus, cuma sentuhan terakhir sahaja kami gagal, saya pun tidak pasti apa faktornya dan kami perlu perbaiki lagi kekurangan yang ada jika kita mahu mencapai kejayaan akan datang.”

Aidil juga turut  kecewa tidak dapat menurunkan khidmat pemain pertahanan Renan Alves pada perlawanan seterusnya kerana pemain itu turut mengutip kad kuning semalam.

“Alves akan menjalani penggantungan pada perlawanan seterusnya kerana sudah ada dua kad kuning, jadi sekali lagi kita akan beraksi tanpa pemain utama itu.”

“Saya belum ada gambaran perancangan baharu kerana perlu lihat selepas proses pemul!han esok (hari ini) dan kita akan rancang selepas mengetahui laporan kece*deraan berkenaan.”

“Saya berharap dengan kembalinya beberapa pemain yang sudah pulih dari kece*deraan seperti David Rowley, Azmeer Yusof serta Ifwat Akmal yang demam hari ini dapat membantu pasukan untuk perlawanan seterusnya.”

Dalam pada itu, Aidil turut menolak alasan keletihan membelenggu skuadnya antara penyebab gagal mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Darul Aman pada musim ini.

“Kita tidak boleh beri alasan keletihan dan kita sepatutnya bertambah semangat selepas kemenangan Piala FA dan menang di Seremban.

“Walaupun kalah pada malam ini, saya tetap percaya kepada semua pemain saya kerana itu adalah bola sepak dan yang paling penting pemain telah beri 100 peratus untuk setiap perlawanan demi peminat dan penyokong semua.”

“Untuk layak ke perlawanan suku akhir, kita perlu lupakan segera kekalahan malam ini kerana ini bukan pertama kali kita kalah dan kita harus yakin antara satu sama lain serta pandang ke depan untuk perlawanan bertemu PKNS selepas ini,” katanya

Sumber : BH