Kedah dimalukan pasukan bawahan liga

KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur (KL) akhirnya menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini selepas menundukkan Kedah 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Ia adalah tiga mata pertama yang diraih skuad The City boys selepas tewas semua enam perlawanan awal musim sebelum ini.

Bagi Kedah, kekalahan mengejut kepada pasukan tercorot liga itu menyebabkan mereka semakin jauh daripada pendahulu, Johor Darul Ta’zim selepas ketinggalan lapan mata.

KL terlebih dahulu mengejutkan Kedah apabila Luke Zantua menanduk masuk bola sepakan percuma Paulo Josue untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0. Tersentak dengan jaringan itu, Kedah melakukan serangan bertali arus ke kubu Kuala Lumpur dengan deretan percubaan dilakukan tetapi tidak menepati sasaran.

Anak buah Aidil Sharin Sahak terpaksa menunggu hingga minit ke-31 untuk menyamakan kedudukan selepas Fernando Rodriguez tenang menolak masuk bola hantaran lintang Anmar Fares Abdul Jabar.

Hanya lima minit selepas bersambung babak kedua, Kuala Lumpur sekali lagi berada di depan menerusi Guilherme De Paula selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol Kedah.

Kedah cuba bangkit memburu gol penyamaan dengan beberapa gerakan berbah4ya, namun ketumpulan jentera s3rangan menyaksikan mereka gagal untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Sumber: BH