Kerajaan Tak Berubah Walau PH Kalah

CYBERJAYA: Kekalahan parti pemerintah pada pilihan raya kecil (PRK) tidak akan mengubah kerajaan yang mentadbir negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kadangkala kebanyakan parti kerajaan yang bertanding pada PRK tidak mendapat banyak sokongan disebabkan hakikat berkenaan.

“Apa saja yang berlaku pada PRK, sama ada parti kerajaan menang atau tidak, kerajaan tetap sama dan ia masih Pakatan Harapan (PH)” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata demikian kepada media selepas merasmikan Technomart Malaysia 2019 anjuran Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) dengan usaha sama Kumpulan Kerjasama Industri-Kerajaan (MIGHT) di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kekalahan PH kepada Barisan Nasional (BN) pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu.

Pada PRK berkenaan, Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi berbanding calon PKR, Dr S Streram yang mendapat 5,887 undi.

Dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin, masing-masing hanya memperoleh 83 dan 79 undi.

Mengenai kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang meminta rakyat memberi peluang enam bulan lagi kepada PH untuk menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr Mahathir berkata, kerajaan mahu melakukan pelbagai perkara, namun tidak mempunyai wang.

“Kita mempunyai banyak masalah. Percayalah, kita tidak mempunyai wang. Wang sudah dicuri, itu adalah masalah utama kita. Kita mahu lakukan apa saja, tapi wang tak ada,” katanya.

Sumber: BH