Kesihatan semakin merosot

SEGAMAT: Tahap kesihatan bekas pemain bola sepak Johor FC, Mohd Yussalman Jusuh semakin merosot setiap hari selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 2011 yang menyebabkannya lumpuh.

Isterinya, Nor Liana Razali, 37 berkata berat badan suaminya itu juga semakin merosot kepada 70 kilogram berbanding 82 kilogram berikutan hilang selera makan.

“Suami saya amat tabah kerana kerap menasihati kami supaya tidak sedih dengan dugaan menimpanya malahan yakin suatu masa nanti beliau akan sembuh semula,” katanya yang ditemui ketika menerima kunjungan dan sumbangan RM1,000 dari Persatuan Bola Sepak Batu Anam (PBBA) FC dan bekas pemain bola sepak Ex Segamat FC tahun 96/98 di kediamannya di Felda Palong Timur 1 di sini, hari ini

Turut hadir, Pengerusi PBBA FC, Aidil Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip.

Mohd Yussalman bekas pemain bola sepak skuad Johor FC itu pernah menyarung jersi bernombor 25 berlatih di bawah kendalian jurulatih Wan Jamak Wan Hassan pada tahun 2000 lalu.

Bagaimanapun kerjayanya berakhir apabila terbabit dalam kemalangan pada 29 September 2011 apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kenderaan di sekitar Johor Baharu.

Akibat kejadian itu, Mohd Yussalman koma selama 11 hari di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, sebelum disahkan hilang upaya selain pundi kencingnya pecah.

“Walaupun hanya mampu terbaring di atas katil khas sumbangan bekas majikannya dahulu namun suami masih lagi mengikuti perkembangan semasa berkaitan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Setiap bulan suami perlu menjalani pemeriksaan penukaran tiub dan beg air kencing di sebuah pusat rawatan pakar di sekitar Melaka.

“Pada masa sama beliau turut menjalani rawatan susulan di Hospital Segamat tiap dua minggu sekali setelah pulang menetap ke Felda Palong Timur 1,” katanya.

Nor Liana berkata, suaminya itu kini hanya mampu menelan beberapa sudu makanan cairan antaranya bubur nasi sayuran dibandingkan sebelumnya.

Ketika ini, Mohd Yussalman menerima sumbangan bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) sebanyak RM700 selain RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat dan RM350 (Baitumal) .

Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak, Muhamad Daniel Iman,13, Dayana Nurul Iman, 11 dan Mohamad Zidane Mikail, 10 tahun.

Sementara itu, Aidil berkata, sumbangan RM1,000 yang diberikan kepada keluarga Mohd Yussalman adalah hasil kutipan orang awam dan pemain ketika perlawanan amal persahabatan di antara PBBA FC dan EX Segamat FC di Batu Anam, Segamat.