Liverpool kuasai Liga

LIVERPOOL: Liverpool kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris selepas akhirnya meraih kemenangan ketika jaringan Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mohamed Salah memastikan kemenangan selesa 3-0 ke atas Bournemouth, awal pagi hari ini.

Dua keputusan seri berturut-turut berdepan Leicester dan West Ham menyaksikan skuad Juergen Klopp dipintas Manchester City dengan perbezaan gol.

Namun Liverpool memanfaatkan sepenuhnya kelebihan satu perlawanan berbanding juara bertahan itu dengan melebarkan jurang tiga mata dan kembali meletakkan tekanan terhadap City yang menanti kunjungan Chelsea malam ini.

Klopp meminta anak buahnya menikmati ‘keterujaan’ dalam saingan memburu kejuaraan yang sengit berbanding memikirkan mengenai prestasi sebelumnya demi misi menamatkan penantian 29 tahun untuk menjulang gelaran.

Sebaik Mane memecah kebuntuan pada pertengahan separuh masa pertama yang melegakan tekanan di Anfield, Liverpool kembali menemui rentak yang menyaksikan mereka menang sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut pada November dan Disember.

James Milner sekali lagi membantu di posisi bek kanan dengan Trent Alexander-Arnold cukup cergas untuk kembali daripada kecederan dan hantarannya berjaya ditanduk kemas Mane untuk gol keempatnya musim ini.

Wijnaldum adalah satu-satunya pemain yang dibawa masuk Klopp selepas seri 1-1 dengan West Ham awal pagi Selasa dan kehadiran pemain tengah Belanda itu benar-benar membawa perbezaan.

Salah hampir saja menggandakan jaringan Liverpool apabila Wijnaldum melakukan hantaran hasil lorongan Roberto Firmino dalam aksi serangan balas yang pantas namun pemain Mesir itu gagal mengawalnya dan berjaya dikawal Bournemouth.

Sebaliknya Wijnaldum meledak gol kedua yang diperlukan Liverpool, dalam aksi penuh gaya, 11 minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Salah akhirnya berjaya melebarkan penguasaannya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana, tiga minit seawal separuh masa kedua hasil umpanan Firmino untuk gol ke-20 peribadi musim ini.

Sumber : hm