Lupakan saja hasrat ke Liga Super

KUALA LUMPUR: Pasukan Pulau Pinang terpaksa melupakan impian untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas mereka dikenakan pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ia susulan isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain importnya, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama skuad Pulau Mutiara itu selama tiga musim iaitu dari 2015 hingga 2017.

Apa yang menyedihkan, berita itu diterima oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) diumumkan kurang 24 jam selepas mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan apabila menundukkan PDRM 2-1 dalam aksi terakhir semalam.

Pemotongan enam mata itu menjadikan jumlah mata muktamad yang dikumpul Pulau Pinang adalah 24 mata dan jatuh ke tangga ketujuh.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata FIFA pada 25 Mac lalu menghantar surat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengarahkan supaya FAP membayar Reinaldo sebanyak AS$90,000 (RM369,882) bersama faedah sebanyak lima peratus.

“Pada 17 April 2019, FAP membuat pembayaran berjumlah AS$92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Reinaldo. Pembayaran itu dibuat oleh FAP secara terus kepada Reinaldo tanpa melalui FAM.

“Bagaimanapun pada 29 April 2019, peguam Reinaldo menghantar surat kepada FIFA yang memaklumkan bahawa sudah menerima pembayaran daripada FAP dengan bayaran sebanyak AS$92,597.72.

“Namun, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa pembayaran penuh yang sepatutnya adalah sebanyak AS$97,041.83 iaitu baki bayaran sebanyak AS$4,444.11 lagi yang perlu dibayar oleh FAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stuart bagaimanapun menjelaskan pada 28 Jun lalu, FIFA menghantar surat kepada FAM yang memaklumkan bahawa FAP gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang diberikan.

Justeru, katanya, FIFA menuntut bukti pemotongan enam mata liga dihantar kepada mereka selewat-lewatnya pada 3 Julai lalu yang memaksa FAM membuat rayuan pertama dengan fakta tambahan untuk FIFA pertimbangkan hukuman itu.

“Seterusnya pada 1 Julai 2019, FAP membuat baki bayaran kepada Reinaldo, namun wang itu mengambil masa untuk pemprosesan penghantaran ke akaun bank beliau di Brazil.

“Pada 10 Julai 2019, peguam Reinaldo juga memberi pengesahan bahawa bayaran sudah pun diselesaikan sepenuhnya dan memohon supaya kes ini ditutup dan tindakan tatatertib terhadap FAP dibatalkan,” katanya.

Namun, Stuart berkata pada 17 Julai lalu, FAM menerima surat daripada FIFA yang memaklumkan bahawa hukuman pemotongan enam mata terhadap FAP itu perlu dibuat selewat-lewatnya sebelum 22 Julai (esok).

“Ia kerana walaupun pembayaran sudah diselesaikan sepenuhnya, tetapi FAP melanggar perintah FIFA yang mengarahkan pembayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan asal. FAM sekali lagi pada 18 Julai 2019 telah pun membuat rayuan ketiga kepada FIFA.

“Tetapi hari ini, hari terakhir untuk membuat potongan mata seperti diarah oleh FIFA. Dengan rayuannya didapati masih tidak diterima FIFA, FAM pada hari ini terpaksa juga memajukan surat arahan daripada FIFA kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengeluarkan surat rasmi pemotongan enam mata kepada Pulau Pinang.

“Meskipun FAM mengemukakan tiga rayuan kepada FIFA, FAM sedikit kesal kerana FIFA tetap bertegas mahu hukuman pemotongan mata itu dilakukan sedangkan FAP sudah menyelesaikan bayarannya yang mana disebabkan prosedur kadar tukaran mata wang asing dan proses pemindahan wang ke akaun luar negara menyebabkan berlaku sedikit kelewatan,” kata Stuart.

Sumber : HM