Thiago Silva Kini Berkerakyatan Baru

KAPTEN pasukan Paris Saint-Germain (PSG) dari Brazil, Thiago Silva diberi kerakyatan Perancis, umum pemain itu menerusi Twitter semalam.

Keputusan pemain berusia 34 tahun itu bermakna PSG masih mempunyai ruang untuk pemain mengambil pemain yang bukan bernaung di bawah Kesatuan Eropah.

Silva sudah beraksi 274 perlawanan sejak menyertai juara bertahan Ligue 1 pada 2012 dan memiliki 77 caps bersama Brazil.

“Hari ini saya, isteri @Belle_Silva, serta anak Isago dan Iago sudah menjadi rakyat Perancis. Ia hari yang cukup gembira buat kami kerana kami sudah enam tahun setengah tinggal di Paris dan kami merasakan seperti kampung halaman sendiri,” katanya.

“Terima Kasih Perancis, negara yang sangat mengalu-alukan kehadiran kami di mana kami turut berkongsi pengalaman yang sukar dilupakan. Vive la France.” tambahnya.

Sumber : HM

Harga Terbaru Bahan Api

HARGA runcit petrol RON97 naik lapan sen seliter iaitu daripada RM2.46 seliter kepada RM2.54 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 seliter serta RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 16 hingga 22 Mac mengikut penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 16 hingga 22 Mac sepatutnya masing-masing RM2.24 seliter dan RM2.37 seliter.

“Bagaimanapun, harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel bagi tempoh itu adalah dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter,” katanya, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, ia berikutan keputusan kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

Sumber: HM

Gomez Kembali?

KUALA LUMPUR: Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Mario Gomez mendedahkan ada pasukan Liga Malaysia (Liga M) menghubunginya.

Walaupun enggan mendedahkan pasukan mana, Gomez yang tidak melatih mana-mana pasukan sejak ditamatkan kontrakoleh  Persib Bandung Disember lalu, tidak menolak untuk kembali ke Malaysia.

“Ada wakil dari Malaysia menghubungi saya tetapi saya tidak mahu bercerita lebih. Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak,” kata Gomez yang membantu JDT menjulang Piala AFC pada tahun 2015.

“Seperti saya katakan tadi, saya tidak mahu bercakap lebih tetapi jika tawaran itu ada, sudah pasti saya gembira untuk kembali melatih pasukan di Liga Malaysia.

“Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga Malaysia), saya akan umumkan tetapi buat masa ini, tiada apa-apa ‘hitam putih’ (dalam perjanjian).”

Gomez berkata Liga M sentiasa di dalam hatinya dan mengakui berminat untuk kembali.

“Liga M sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis saya bersama JDT. Tipu jika saya katakan tidak berminat untuk kembali Liga Malaysia.

“Liga M memiliki tarikan tersendiri. Imej Liga M semakin terkenal dan ramai pemain khusus dari Asia Tenggara mahu bermain di sini. Jadi, sudah pasti saya mahu kembali jika dapat peluang itu,” katanya.

Sumber : BH

Abang H Berlagak Samseng

AKIBAT berang diminta untuk mengalihkan kenderaannya, seorang lelaki berlagak seperti samseng apabila mencekik pemandu kereta berhampiran masjid di Damansara, Petaling Jaya, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa berusia 37 tahun meletakkan kereta di tempat letak kenderaan di lokasi berkenaan sebelum ia dihalang kereta lelaki terbabit.

Sumber berkata, mangsa yang menaiki kereta Proton Savvy meminta suspek mengalih kereta yang menghalang kenderaannya untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, suspek yang sedang bersembang dengan seorang wanita di situ tidak mengendahkan permintaan mangsa terbabit.

Katanya, mangsa sekali lagi meminta suspek yang menaiki kereta Honda itu untuk mengalihkan kenderaannya, namun lelaki itu bertindak menengking mangsa.

“Lelaki itu turut bertindak agresif membuka pintu kereta mangsa lalu mencekik dan meletakkan lutut di dada mangsa.

“Mangsa keluar dari keretanya, namun ditumbuk lelaki terbabit pada bahagian muka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa yang pening akibat serangan itu memeluk lelaki terbabit dari arah belakang, suspek pula terus menumbuk mangsa berkali-kali.

“Sebelum beredar, lelaki itu sempat mengambil gambar kereta mangsa,” katanya yang memaklumkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, untuk tindakan lanjut.

Difahamkan rakaman gambar ketika suspek menyerang mangsa turut tular selepas dimuat naik di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : HM

Tidak Pernah Berpatah Balik

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan isu perpindahan kontroversi penyerang muda negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid belum berakhir dan ia akan diteruskan dengan membawa kes itu ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang berpusat di Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya tidak pernah berpatah balik dalam kes membabitkan penyerang kebangsaan itu yang bermula sejak 18 Januari lalu.

“Ini bermula setelah mendapat nasihat peguam berkaitan proses timbang tara dilakukan menurut Fasal 12.1 dan pihak kami turut meneliti Artikel 25.3 iaitu Peraturan Status Pemain FAM dan juga keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM yang telah dibuat.,” kata Asmirul.

“Menurut Artikel 67 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk itu sepatutnya mewujudkan sebuah tribunal timbang tara untuk menangani rayuan daripada Jawatankuasa Rayuan. Bagaimanapun, tribunal berkenaan masih belum diwujudkan dan ini disahkan oleh pihak FAM sendiri melalui peguamnya.

“Untuk menangani ketiadaan tribunal itu ketika ini, peguam FAM mengesahkan bahawa badan yang paling sesuai untuk proses timbang tara boleh dilakukan adalah di Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang berada di Kuala Lumpur dan kami mendapat pengesahan daripada pihak peguam FAM sendiri.”

Asmirul turut memaklumkan pihaknya sudah mendapat khidmat dan nasihat peguam yang lebih komprehensif, menyeluruh dan mendalam berkaitan undang-undang dan peraturan sukan bola sepak profesional, termasuk peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Pihak kami menerima dan akur dengan pendapat peguam kami dan telah memulakan proses timbang tara domestik dahulu di mana pihak yang terbabit mesti menjalani segala proses perundangan secara domestik sebelum bidangkuasa CAS atau FIFA boleh diguna pakai.

“KFA adalah ahli FAM, dan badan induk ini juga adalah ahli kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA, jadi kami menerima prosedur yang wajib dipakai untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul,” katanya.

Asmirul juga mahu semua pihak menghormati prosedur yang telah ditetapkan dan tidak membuat membuat spekulasi negatif serta tidak berasas berkaitan kes yang berjalan ini.

Sumber: BH

Malam luar biasa Juve – Ronaldo

TURIN: Cristiano Ronaldo menyifatkan kemenangan 3-0 Juventus ke atas Atletico Madrid pada aksi kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi sebagai ‘malam yang luar biasa’ buat juara Itali itu.

Selepas mengalami defisit susulan kekalahan 2-0 di tempat lawan bulan lalu, Ronaldo tampil dengan persembahan cemerlang apabila meledak hatrik untuk menjulang Juventus mara ke suku akhir dengan keputusan agregat 3-2.

“Ia akan sentiasa menjadi malam yang istimewa dan ia bukan saja kerana jaringan itu, tetapi untuk pasukan,” kata Ronaldo. “Ini adalah mentaliti juara. Ini adalah sebab utama mengapa Juve membeli saya, untuk membantu meraih malam yang magis seperti ini.”

Kekalahan Atletico kendalian Diego Simeone menyaksikan harapan kelab Sepanyol itu untuk beraksi di pentas final yang dijadual di gelanggang sendiri, Stadium Wanda Metropolitano pada 1 Jun depan turut terkubur.

“Juventus bermain dengan cara yang sama seperti kami lakukan pada perlawanan pertama. Kami bergelut dan mereka layak mara ke suku akhir,” kata Simeone.

“Saya tidak fikir ia adalah persembahan terburuk kami. Mereka bermain dengan lebih baik dan kami perlu mengucapkan tahniah kepada mereka.”

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri dalam pada itu memuji kematangan yang ditonjolkan skuad kendaliannya.

“Mereka menunjukkan kematangan yang hebat. Mereka menampilkan permainan terbaik, saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Inilah yang kami mahukan pada aksi pertama.

“Pada malam ini kami jelas, ada risiko ia akan menjadi perlawanan yang gila, seolah-olah ia perlu dilakukan dalam tempoh 10 minit.” – AFP

Sumber: BH

JDT ikat Gyeongnam di Larkin Menerusi Penalti

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit merakam keputusan seri 1-1 menentang kelab Korea Selatan Gyeongnam FC pada aksi Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Ia adalah mata sulung buat skuad Harimau Selatan yang pertama kali bersaing dalam kancah kelab-kelab berprestij Asia tatkala menentang naib juara Liga 1 Korea (K 1 League) musim lalu.

Malang buat penjaga gol, Farizal Marlias yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika sesi panas badan dan memaksa jurulatih Benjamin Mora meletakkan Izham Tarmizi Roslan selaku penjaga gol utama mengharungi perlawanan itu.

Sebaik aksi bermula, skuad Harimau Selatan tampak garang melakukan beberapa serangan dengan gerakan daripada pemain sayap Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid bagi membantu penyerang Diogo.

Percubaan awal anak didik Mora hadir pada minit ke-13 selepas bola umpanan Luis Santo menyaksikan Safawi yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong ke penjuru kanan gol memaksa penjaga gol, Lee Bum-soo merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Asakan berterusan tuan rumah nyata mengundang cemas buat skuad kendalian Kim Jong-pu tatkala aksi memasuki minit ke-24 selepas bola sepakan lintang S Kunanlan disambar Diogo yang sempat melakukan rembatan libas namun bola melepasi palang gol.

Ketika aksi memasuki minit ke-34, sekali lagi Mora terpaksa melakukan rombakan selepas kehilangan Kunanlan yang mengalami kecederaan dan posisi bek kanan diganti oleh Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Bersambung babak kedua, pelawat mula meningkatkan tempo permainan dan memecah kebuntuan pada minit ke-52  menerusi Kwak Tae-hwi yang menanduk bola sepakan sudut Lee Yeong-jae.

Tuan rumah akhirnya menyamakan kedudukan apabila sepakan sudut Safawi terkena tangan Song Ju-hun dan pengadil perlawanan dari Iraq, Mohanad Qasim Eesee Sarray tidak teragak-agak memberi sepakan penalti pada minit ke-67 yang disempurnakan Diogo.

Sepatutnya gol kedua menjelma buat JDT namun hasrat itu tidak kesampaian apabila bola rembatan Safawi singgah di tiang kanan gol dan rembatan susulan Cabrera terkena palang gol.

Sumber: BH

JDT vs Gyeongnam 1-1 – All Goals & Highlights – 12/03/2019 HD

Penalti selamatkan JDT.Sumber: Nandit Sport

Posted by TV Mamak1 on Tuesday, March 12, 2019

United kini bergelut untuk menjual Sanchez

ALEXIS Sanchez tidak berada dalam perancangan Ole Gunnar Solskjaer dan akan dipinjamkan ke kelab lain.

Pengendali sementara Solskjaer yang hampir pasti menjadi pengurus Manchester United yakin masa depan pemain Chile itu berada di tempat lain.

United kini bergelut untuk menjual Sanchez yang dibayar gaji begitu mahal sebanyak £25 juta (RM135j) setahun.

Old Trafford sebaliknya bersedia menjadikan Sanchez sebagai pemain pinjaman selepas gagal menyerlah sejak berhijrah dari Arsenal dengan harapan dapat menarik minat kelab lain.

Sanchez tiba dengan kontrak selama empat setengah tahun pada Januari 2018 untuk pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan.

Sejak itu, dia bergelut malah Solskjaer difahamkan tidak akan mempertahankannya untuk terus berada dalam skuad United.

Sanchez menerima pendapatan sebanyak £391,000 seminggu (RM2.1j) tetapi meningkat kepada £500,000 seminggu (RM2.7j) bersama bayaran bonus.

Pemain berusia 30 tahun itu yang mengalami kecederaan dilihat berada di Nou Camp, Sabtu lalu menyaksikan kelab lamanya Barcelona beraksi ketika mengatasi Rayo Vallecano 3-1.

Sanchez kembali ke Catalonia untuk meneruskan proses pemulihan selepas mengalami kecederaan lutut serius sewaktu menang ke atas Southampton, baru-baru ini.

Penyerang itu tidak dapat beraksi selama lapan minggu yang menamatkan prospek beraksi pada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

SUmber : HM

Yusri tanggung akibat kedegilan Guilherme!

KEDEGILAN pemain import Guilherme de Paula untuk keluar secara sukarela seterusnya berehat selepas mengalami kecederaan antara punca pasukan Kuala Lumpur terus gagal menemui rentak kemenangan seterusnya menyebabkan Yusri Che Lah terpaksa menanggung akibatnya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, perkara itu yang selama ini terpaksa ditanggung oleh pasukan berkenaan apabila tidak mempunyai pemain import mencukupi untuk diturunkan pada setiap perlawanan.

Beliau berkata, sebelum ini, pengurusan sudah meminta Yusri berbincang dengan Paula supaya berundur secara sukarela dan berehat sehingga jendela perpindahan kedua dibuka.

“Namun, pemain berkenaan tetap dengan pendirian mahu bersama dalam pasukan dan enggan memberikan kerjasama untuk ‘keluar’ sementara sehingga kecederaannya pulih.

“Akibatnya, kami tidak boleh membariskan kesemua pemain import dan kemuncaknya jurulatih pula yang terpaksa menanggung akibat berikutan prestasi pasukan kurang memuaskan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum itu, jodoh pengendali Kuala Lumpur Yusri bersama pasukan terbabit hanya mampu bertahan untuk enam perlawanan sahaja apabila jurulatih itu mengambil keputusan meletak jawatan berkuatkuasa semalam selepas gagal meraih sebarang kemenangan setakat ini.

Keputusan itu diambil berikutan desakan daripada penyokong Skuad The City Boy yang mahu bekas pengendali Kelantan itu berundur sekali gus bertanggungjawab terhadap persembahan buruk pasukan berkenaan.

Sementara itu, Nokman memaklumkan pembantu jurulatih, Chong Yee Fat akan mengambil alih sementara tugas Yusri sehingga pihak pengurusan mendapat calon bersesuaian mengisi kekosongan terbabit.

“Namun tidak mustahil Chong akan menyandang jawatan ketua jurulatih jika dia mampu membawa perubahan pada perlawanan akan datang nanti,” katanya.

Sumber : HM

Ronaldo suntik semangat JDT

KUALA LUMPUR: Legenda bolasepak Brazil, Ronaldo selamat tiba di Johor hari ini bagi melawat infrastruktur yang dimiliki juara lima kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain melihat prasarana serta infrastruktur yang ada di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, pemain yang pernah memenangi Piala Dunia dua kali itu turut akan menyaksikan perlawanan antara Harimau Selatan dan Gyeongnam FC dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam ini.

JDT akan melayan kelab Republik Korea itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan ia adalah aksi kedua JDT dalam Kumpulan E selepas tewas 2-1 kepada wakil Jepun, Kashima Antlers, sebelum ini.

Kehadiran bekas pemain terbaik dunia sebanyak tiga kali yang pernah beraksi bersama Barcelona, Real Madrid, AC Milan and Corinthians itu bakal mencetus semangat tambahan buat JDT menjelang aksi penting di gelanggang sendiri itu.

Selain Ronaldo, JDT turut mengharapkan sokongan padu daripada penyokong mereka untuk membanjiri stadium dalam usaha mendapatkan mata sulung dalam saingan ACL.

“Ayuh para penyokong Harimau Selatan, kita penuhkan sekali lagi Stadium Larkin pada malam ini dan berikan sokongan padu anda kepada JDT kerana mereka memerlukan sokongan keramat anda sebagai pemain ke-12 serta jadilah sebahagian dari sejarah berharga ini,” kata satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers.

Sumber : BH