Pasukan Kedah bakal menyengat musim depan!!


Bekas pengendali Kedah musim 2015, Ramon Marcote hampir pasti dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Lang Merah itu bagi musim 2018.

Marcote tiba di Alor Setar, Kedah malam Rabu dipercayai untuk memuktamadkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Ketibaan Marcote turut dimaklumkan KFA dalam laman Facebook rasminya malam Rabu.

Malah peminat turut berkongsi beberapa keping gambar bersama dengan Marcote sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, malam Rabu di media sosial.

“Ramon Marcote tiba malam tadi (Rabu) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar melalui perjalanan jauh dari kampung beliau iaitu Cee dan mengharungi tempoh 29 jam dari A Coruna, Sepanyol.

“Ketibaan beliau adalah untuk perbincangan memuktamadkan kontrak dalam masa terdekat bersama Kedah FA sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan membuat pengumuman rasmi mengenai khabar gembira itu dalam masa terdekat setelah termeterainya kontrak antara Marcote dan persatuan tersebut.

Usaha membawa kembali Marcote ke Kedah merupakan hasil cetusan idea penaja pasukan Helang Merah, ECK Development Sdn Bhd yang akhirnya mendapat restu pengurusan tertinggi KFA.

Terdahulu, Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew di halaman Facebook berkata beliau memerlukan 25,000 tanda suka (like) untuk membawa masuk bMarcote sebagai ketua jurulatih.

Usaha tersebut turut mendapat pujian dan sokongan penuh penyokong setia skuad Kedah.

Marcote pernah bertanggungjawab sebagai jurulatih kecergasan pada musim 2015 dan namanya tidak asing di kalangan penyokong bola sepak Kedah apabila berjaya mengemudi pasukan itu ke pentas akhir Piala Malaysia 2015.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu mempunyai pengalaman luas dalam sistem akademi bola sepak Atletico Madrid di mana beliau berperanan jurulatih projek pembangunan kelab tersebut.

Pada masa sama, skuad Helang Merah dilaporkan akan memulakan latihan pra-musim pada Isnin depan.

Sumber : mstar