Penyak!t “M!steri”?

ALOR SETAR : Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) menggesa pihak kejurulatihan Kedah yang diketuai Aidil Sharin Sahak segera mendapatkan formula berkesan bagi mengelak aksi ‘yoyo’ berulang dalam saingan Liga Super seperti dipamerkan ketika ini.

Prestasi Kedah yang dilihat mantap di awal musim, tiba-tiba longlai dengan mencatatkan keputusan luar jangkaan selepas tewas kepada pasukan bawahan liga seperti Kuala Lumpur (1-2) sebelum ini dan juga Melaka United (0-1) Ahad lalu.

Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata, kekalahan mengejut yang dialami umpama ‘penyak!t m!steri’ dan ianya berulang apabila skuad Lang Merah menentang skuad bawahan.

“Apabila menentang pasukan kuat, Kedah berjaya kekalkan rentak perlawanan, tapi kami hairan bila lawan dengan pasukan bawahan liga, Kedah kecundang dengan mudah seperti lawan sebelum ini bertemu Melaka dan Kuala Lumpur yang sepatutnya kita boleh menang.”

“Memang kalah menang adalah adat perlawanan, namun apa yang kami terkilan adalah aksi longlai pemain-pemain longlai yang dipamerkan, ia jelas menampakkan Kedah tidak beraksi seperti yang dirancangkan.”

“Kami boleh terima kekalahan namun biarlah kekalahan itu cara bermaruah dan bukan tewas mudah dengan kurang percubaan untuk menghasilkan gol.”

Asmadi turut risau apabila mendapati beberapa pemain yang mengalami kecederaan pada perlawanan lalu dijangka tidak dapat diturunkan untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor Jumaat ini.

“Perkara yang merisaukan kami adalah faktor kecederaan empat hingga lima pemain seperti pemain import Anmar Al Mubaraki, Zaquan Adha, Shahrul Azwari dan lain-lain yang belum dapat dipastikan status untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.”

“Tambahan pula Kedah perlu bersedia untuk aksi suku akhir Piala FA bertemu PKNS FC di gelanggang lawan empat hari selepas perlawanan Liga Super itu yang memerlukan tahap kecergasan yang tinggi.”

“Walau bagaimanapun kami masih yakin pihak kejurulatihan dapat merungkai masalah melibatkan kecederaan yang sedang melanda pasukan ini dengan melakukan beberapa rombakan perancangan dan pemain bagi mengelak masalah ini berterusan.” katanya.

Sumber: BH