Perak sasar menang

Ipoh: Selepas menewaskan Selangor, 3-2 di sini, semalam, pengendali skuad Perak, Mehmed Durakovic melaungkan betapa dia tidak mahu memikirkan mengenai perlawanan akhir Piala FA sebaliknya mengutamakan kemenangan bagi setiap perlawanan.

“Setiap perlawanan kita mahu menang dan buat masa ini, saya tidak mahu memikirkan mengenai perlawanan Piala FA sekarang. Kita mengambil pendekatan ‘one games at one times’ kerana kita mempunyai beberapa pemain yang cedera,” katanya selepas perlawanan.

Mengulas kemenangan Perak itu, Durakovic berkata meskipun dibolosi dengan dua gol, ia bukan tugas tidak mudah untuk bangkit dan menundukkan pasukan pelawat kerana mereka mempunyai barisan pemain import dan tempatan serta jurulatih yang bagus.

“Bagaimanapun pemain saya berhak diberikan kemenangan kerana mereka tidak putus-putus mengasak terutama pada separuh akhir pertama walaupun kita membuat kesilapan dengan dua gol awal,” katanya.

Kemenangan itu melonjakkan skuad The Bos Gaurus tangga keenam dengan himpunan 30 mata.

Dalam pada itu, S Sathianathan mengakui dengan barisan skuad pimpinannya yang ada, pasukan Selangor terpaksa bermain dengan keadaan ‘tempang’ susulan beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bertanggungjawab ke atas kekalahan skuad Red Giants itu.

“Saya akan cari ramuan atau menyediakan pasukan yang mantap untuk dua perlawanan lagi. Apa yang penting kita mahu berada di tangga keempat teratas. Jadi kita kena menang dua gol, tiada lagi cara lain,” katanya.