PM: Kerajaan mungkin tukar sistem cukai

Polisi kerajaan melibatkan percukaian yang lebih mengutamakan import berbanding eksport, mungkin akan diubah.

Langkah itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, adalah bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan apabila lebih banyak produk tempatan dikeluarkan, sekaligus menyebabkan pengurangan import.

“Saya tidak tahu kenapa kerajaan mempunyai dasar yang dilihat menggalakkan import berbanding eksport. Kita tidak berkhidmat dengan negara kita sendiri (menerusi polisi ini) jadi kita perlu menukar dasar kerajaan.

“Ini akan melibatkan perancangan dalam menstrukturkan semula cukai melibatkan industri-industri tertentu,” katanya, petik laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas merasmikan pembukaan Pameran Technomart Rel 2019 di Cyberjaya semalam.

Katanya lagi, banyak duit negara mengalir keluar kerana sikap rakyat yang memandang rendah pada pencapaian negara sendiri.

“Jika kita buat kereta di Malaysia, ia akan menjadi kereta paling teruk berbanding kereta buatan luar. Disebabkan itu banyak duit keluar sedangkan kita ada kemahiran bukan sahaja membina kereta api malah kapal terbang dibina si sini. Jadi keupayaan itu ada,” tambahnya.

Justeru, Mahathir berharap agar rakyat Malaysia dapat mencontohi masyarakat Jepun yang cenderung membeli produk mereka sendiri.

“Anda boleh bawa kuda ke air tetapi anda tidak boleh paksanya minum air itu.

“[…] Jika anda memilih produk tempatan, lama-kelamaan kualiti produk tersebut akan bertambah baik. Jika anda tidak menggalakkan produk tempatan dan membeli barang import, tiada peluang bagi produk kita untuk sampai ke standard antarabangsa,” katanya lagi.

Sumber: MK