Prestasi Hafizh membimbangkan

PRESTASI pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencetuskan rasa bimbang pengurus pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal.

Terbaru pada Grand Prix (GP) Austria di Spielberg, semalam, pelumba negara itu terpaksa dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana mengalami gegaran di kepala selepas terbabit dengan kemalangan pada hari perlumbaan.

“Ia adalah kali kedua berturut-turut Hafizh gagal menamatkan perlumbaan yang mana ia agak membimbangkan.

“Sejak kembali daripada cuti panjang, Hafizh nampak agak gementar dan mungkin cuba untuk mempamer prestasi lebih daripada kebiasaannya.

“Dia mengalami gegaran di kepala. Selain itu saya lihat dia nampak baik saja.

“Saya rasa kami perlu berbincang dengannya dengan memberitahunya perkara paling penting adalah dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat,” katanya.

Poncharal berkata, Hafizh masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya sebelum kontraknya berakhir hujung musim ini.

“Saya rasa dia mempunyai peluang untuk memungut mata. Apapun dia perlu bersikap positif dan terus bekerja keras,” katanya.

Kegagalan menamatkan perlumbaan kelmarin adalah yang keempat dialami Hafizh pada musim ini dan dia kekal mengutip tiga mata selepas 11 pusingan.