Ramai pemandu e-hailing gagal lesen

PETALING JAYA: Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) bingung apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.

Presidennya, Arif Asyraf Ali, berkata walaupun GDMA tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV berkenaan namun secara kasarnya beliau mendakwa 10 hingga 50 peratus saja pemandu yang lulus dalam setiap kelas.

Beliau juga mendakwa, terdapat kes di Pulau Pinang yang hanya tujuh pemandu lulus ujian PSV daripada 40 orang bagi menduduki peperiksaan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, hal ini berlaku disebabkan beberapa perkara, antaranya ujian dijalankan dalam satu bahasa saja iaitu Bahasa Malaysia dan ia menjadi punca utama kegagalan itu.

“Selain itu, kami juga mendapati ujian dilaksanakan dalam tempoh waktu yang amat singkat iaitu pemandu perlu menyelesaikan 60 soalan dalam 60 minit.

“GDMA juga menagih janji kerajaan yang menjanjikan ujian dilaksanakan dengan sistem ‘open book’ yang membolehkan pemandu merujuk buku panduan ketika menjawab soalan disediakan,” katanya pada sidang media ‘Menuntut Reformasi PSV’, di sini hari ini.

Arif turut mendakwa rata-rata institut memandu masih belum bersedia melaksanakan kursus PSV kepada hampir 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan latihan mengambil lesen PSV dilaksanakan bermula 1 April sehingga Julai depan, namun terdapat institut memandu yang dikunjungi pemandu masih belum bersedia untuk mengadakan kelas.

“Kebanyakan institut memandu juga tidak mempunyai ruang dan kelas secukupnya malah kami difahamkan hanya 50 pemandu dapat menduduki satu kelas untuk setiap minggu. Jadi, ia sangat mustahil untuk mereka menampung semua pemandu dalam masa tiga bulan,” katanya.

Arif turut menyatakan kebimbangannya terhadap nasib 442 pemandu e-hailing Orang Kelainan Upaya (OKU) apabila dimaklumkan tidak dibenarkan meneruskan kerjaya mereka.

“Berdasarkan syarat pengambilan lesen PSV OKU (fizikal) yang memandu kelas A atau A1 secara automatik tidak dibenar dilesenkan justeru kami bimbang seramai 442 pemandu OKU ini akan menganggur kerana hilang punca pendapatan,” katanya.

Sumber : BH