Real Madrid kelab impian

CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES, Perancis: Paul Pogba berkata dia “gembira” berada di Manchester United tetapi Real Madrid “adalah kelab impiannya”.

Bermain untuk Real “adalah impian setiap kanak-kanak, bagi setiap pemain bola sepak”, kata pemain tengah itu dalam sidang media di kem latihan Perancis.

“Ia adalah salah satu kelab terbesar di dunia. Saya sering berkata Real Madrid adalah kelab idaman bagi setiap pemain,” kata pemain berumur 26 tahun itu.

Kelab Sepanyol itu baru-baru ini melantik semula bekas pemain tengah Perancis, Zinedine Zidane yang juga pemenang Piala Dunia sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Santiago Solari.

United juga membuat pertukaran jurulatih pada musim ini dengan membawa masuk Ole Gunnar Solskjaer bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat.

“Pada ketika itu, saya gembira di Manchester. Saya bermain. Ada jurulatih baru,” katanya.

Pogba yang ditemuramah di saluran televisyen Britain di sebelah pagi, ditanya semula tentang hubungan tegangnya dengan Mourinho dan sekali lagi dia cuba mengelak.

“Apa yang tak kena? Kami tak menang,” katanya.

“Sebab itulah mereka menukar jurulatih. Tak perlulah kita bercakap dengan lanjut.

“Jika ada keputusan maka ia pasti lebih positif, jurulatih akan kekal,” katanya dengan senyuman. – AFP

Sumber: BH