Red Giants menang tipis atasi PKNS FC

SHAH ALAM: Selangor mendaki ke tangga ketiga Liga Super buat seketika selepas menewaskan ‘pasukan adik’ PKNS FC 3-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Penyokong setia Red Giants harus berterima kasih kepada Ifedayo Olusegun Omosuyi yang menyumbangkan dua gol ketika skuad kendalian B Sathianathan mempamer kebangkitan selepas dikejutkan jaringan awal PKNS.

Terdahulu, PKNS bermula garang apabila mendahului permainan seawal minit ketiga menerusi bintang importnya, Romel Morales sekali gus menekan Selangor yang memburu tempat ketiga liga.

Sebaliknya, Red Giants bangkit dengan aksi lebih bertenaga dan hasilnya pada minit ke-40, Sandro Da Silva menyamakan kedudukan selepas rembatan derasnya dari luar kota penalti gagal dihalang penjaga gol lawan, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Selang tiga minit kemudian, giliran Selangor di depan, kali ini gol dihasilkan Ifedayo selepas kesilapan dilakukan Muhammad Zarif yang gagal menangkap kemas bola tinggi.

Selangor yang turun selaku pasukan pelawat hanya memerlukan tujuh minit di babak kedua untuk menambah derita PKNS, sekali lagi menerusi ayam tambatannya, Ifedayo.

Pada minit ke-76, salah faham antara pertahanan Selangor dan penjaga gol, Khairulazhan Mohd Khalid membuka peluang buat pertahanan PKNS, Tamirlan Kozubaev merapatkan kedudukan.

Selepas itu, Selangor dilihat lebih banyak bertahan dan kedudukan 3-2 bertahan hingga wisel penamat.