Salah Ketar Lutut

LIVERPOOL – Legenda England, Alan Shearer berpendapat Liverpool sekadar seri tanpa jaringan dengan Everton pada aksi Liga Perdana England (EPL) di Goodison Park baru-baru ini disebabkan penyerangnya, Mohamed Salah kekurangan keyakinan.

Shearer menjelaskan, Salah, 26, mula menunjukkan tanda-tanda rasa gugup apabila mensia-siakan dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol bermakna buat The Reds pada perlawanan tersebut.

“Salah seperti kekurangan keyakinan dan petanda ini tidak bagus buat Liverpool pada waktu getir seperti sekarang.

“Dia gagal mencapai prestasi hebat seperti ditunjuknya musim lalu dengan 24 gol. Dia juga tidak berjaya menunjukkan pengaruhnya pada perlawanan-perlawanan besar se­perti musim lalu.

“Semua pemain pertahanan pihak lawan sudah tahu gaya permainan Salah iaitu memotong masuk ke bahagian tengah dari kawasan kanan padang sebelum melepaskan rembatan menggunakan kaki kiri.

“Liverpool amat memerlukan ke­upayaan Salah kerana musim ini amat penting buat mereka dalam usaha memburu kejuaraan EPL,” katanya.

Walaupun gagal menyamai rekod jaringan 24 gol musim lalu, namun Salah sudah berjaya menjaringkan 17 gol daripada 29 perlawanan setakat ini.

Penggempur utama Mesir itu perlu meningkatkan keyakinan dan menajamkan sentuhan penyudah jika mahu memastikan Liverpool bergelar juara EPL musim ini.

Lawan seterusnya buat skuad bimbingan Jurgen Klopp itu ialah Burnley di Anfield pada Ahad ini. – Agensi