Salah, Mane malukan Chelsea

LIVERPOOL: Sadio Mane dan Mohamed Salah masing-masing menyumbat gol bagi membantu Liverpool menundukkan Chelsea 2-0 di Anfield, sebentar tadi.

Kemenangan menyaksikan Reds kembali merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris daripada seteru utama, Manchester City yang beraksi dua jam lebih awal.

Selepas mengharungi 34 perlawanan, Liverpool kini mengumpul 85 mata manakala City ketinggalan dua mata namun beraksi kurang satu perlawanan.

Pada aksi lebih awal, City menewaskan Crystal Palace 3-1 dengan pengendalinya, Pep Guardiola mengakui pasukannya perlu memenangi kesemua baki perlawanan untuk menamatkan cabaran Liverpool.

Selepas mengharungi babak pertama yang mendebarkan di Anfield, gol yang dicari-cari tuan rumah diperoleh pada minit ke-51 apabila bola umpanan Jordan Henderson berjaya disempurnakan dengan tenang oleh Mane.

Gelanggang keramat Reds itu sekali lagi ‘bergegar’ dua minit kemudian apabila penyerang sensasi, Salah meledak gol kedua tuan rumah menerusi rembatan padu menarik daripada jarak 25 meter bagi merobek gawang Chelsea.

Pelawat cuba melakukan tindak balas tetapi cubaan terbaik menerusi pemain tonggaknya, Eden Hazard sekadar melepasi palang sekali pun penjaga gol Liverpool, Alisson Becker sudah tertewas.

Kekalahan menyaksikan pemburuan Chelsea untuk menduduki carta empat terbaik liga berdepan tamparan dengan kedudukan mereka boleh dirampas Manchester United dan Arsenal yang beraksi lebih lewat. – Agensi

Sumber: BH