Sanggup bayar caj tambahan RM7,000

SANGGUP bayar caj tambahan RM7,000 setiap seorang dikatakan untuk mendapatkan kuota visa haji Raja Salman membabitkan 20 kekosongan bagi menunaikan haji, tahun ini.

Mereka adalah 36 bakal jemaah haji didakwa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sejak Isnin lalu selepas tidak mendapat tiket penerbangan dan visa haji.

Mereka daripada kumpulan lain, dikatakan dikendalikan oleh syarikat sama, yang menguruskan 26 rakyat Malaysia yang turut terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, Isnin lalu.

Seorang daripada yang terkandas, Siti Esah Hussain, 65, berkata, dia tinggal di Johor dan tiba ke KLIA pada Isnin selepas dimaklumkan penerbangan ke Tanah Suci ialah pada hari berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak memperolehi tiket penerbangan dan visa. Saya berada di KLIA ini sejak Isnin lalu dan menginap di hotel di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selepas diberitahu ada visa haji kuota Raja Salman, saya turut membayar caj tambahan sebanyak RM7,000 kerana memang mahu sangat ke Tanah Suci bagi menunaikan haji,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA, Sepang, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Esah berkata, dia mengambil keputusan menunaikan ibadat haji bersama syarikat itu memandangkan perlu menunggu giliran sehingga 2027.

“Memikirkan faktor usia dan kesihatan, saya memilih untuk menunaikan haji menggunakan pakej ditawarkan syarikat swasta dan tidak menyangka akan berdepan dengan ujian tidak dapat ke Tanah Suci,” katanya.

Seorang lagi yang enggan dikenali berkata, dia turut membuat pembayaran bagi caj tambahan RM7,000 bagi mendapatkan kuota visa haji Raja Salman.

“Saya juga sama seperti Siti Esah sepatutnya berlepas ke sana pada Isnin tetapi tidak memperolehi tiket penerbangan dan visa. Apabila dimaklumkan ada kuota berkenaan, saya tidak ketinggalan membayarnya.

“Saya memilih pakej ditawarkan syarikat ini selepas melihat maklum balas daripada jemaah sebelum ini yang memaklumkan, syarikat ini terbaik dalam pengurusan malah pernah menguruskan jemaah haji sebelum ini,” katanya.

Katanya, difahamkan, pakej ditawarkan adalah pelbagai membabitkan bayaran

sekitar RM30,000 hingga RM50,000 menggunakan visa haji Furada.

Terdahulu, semalam Harian Metro melaporkan, 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Menerusi laporan itu, mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersial dari KLIA sebelum tiba di Jeddah, 7 malam kelmarin.

Kesemua rakyat Malaysia itu tiba di tanah air jam 11.03 pagi hari ini menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH151.

Sumber : HM