Sarri kini terpinga-pinga

MANCHESTER: Maurizio Sarri ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga berhubung masa depannya selepas kekalahan memalukan 6-0 di tangan Manchester City.

Pengendali dari Itali itu mengakui kedudukan dia kini berada dalam keadaan bahaya selepas Chelsea mengalami kekalahan terbesar dalam tempoh 27 tahun.

“Anda perlu bertanya kepada kelab,” kata Sarri di tengah-tengah seruan untuknya meninggalkan kelab selepas mengalami kekalahan keempat dalam lapan perlawanan terakhir.

“Saya bimbang mengenai pasukan. Saya bimbang mengenai persembahan pemain. Kedudukan saya sentiasa berada dalam keadaan berisiko,” katanya.

Sarri ditanya sama ada dia sedang menanti panggilan daripada pemilik Roman Abramovich, tetapi jawapannya lebih kepada kesukaran yang dihadapinya di Chelsea.

“Jika presiden mengubungi saya, maka saya gembira selepas tidak pernah dihubungi olehnya sebelum ini.

“Jujur saya katakan, saya tidak tahu apa akan berlaku. Saya tidak nampak gaya permainan bola sepak saya.

“Pada permulaan musim ia menjadi. Kini kami perlu mencari jalan mengapa ia tidak berjalan seperti diimpikan. Ia bukannya mudah.”

Mimpi ngeri itu dirosakkan lagi dengan tindakan pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger menunjukkan rasa berangnya terhadap penyokong tuan rumah.

City juga memohon maaf kepada Chelsea selepas lagu Stamford Bridge ‘One Step Beyond by Madness’ berkumandang sejurus wisel penamat ditiup. – Agensi

Sumber : BH