“Saya belum mendapat apa-apa panggilan daripada ejen”

KUALA LUMPUR: Sekalipun Liga Perdana Belarus tidak gah seperti Liga Perdana Inggeris dan La Liga, peluang untuk beraksi di negara Eropah Timur itu tidak akan disia-siakan pemain sedang meningkat, Akhyar Rashid.

Selepas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikaitkan dengan khabar angin bahawa juara Liga Perdana Belarus 2018, BATE Borisov dikatakan mengintai khidmatnya, abang Akhyar – Rafdi Rashid mengakui keluarganya ‘merelakan’ pemergian Akhyar ke luar negara bagi mengembangkan lagi potensinya dalam sukan bola sepak.

Jelas Rafdi, meskipun Belarus dilihat sebagai negara yang sangat asing, itu adalah peluang terbaik untuk Akhyar bermula daripada pasukan di Belarus bagi membolehkan dia mencipta tapak di sana terlebih dahulu.

“Saya belum mendapat apa-apa panggilan daripada ejen membabitkan perkara ini namun seandainya perkara ini benar, saya serahkan semuanya kepada JDT untuk menguruskannya.

“Cuma sebagai ahli keluarga, kami sememangnya mahu melihat Akhyar beraksi di luar negara kerana dia juga sememangnya mengimpikan peluang sebegini. Kami memberi sokongan sepenuhnya kepada Akhyar.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan. Sebelum ini pun, kami banyak berbual dengannya dan dia sendiri bersedia untuk ke luar negara sekiranya mendapat tawaran. Dia masih muda dan inilah masanya untuk dia tunjukkan potensi yang dimilikinya,” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Reputasi pemain muda negara itu selepas menyertai skuad Harimau Selatan terus melambung selepas khidmatnya dikatakan diintai BATE Borisov.

Menerusi satu kenyataan di laman Football Agent Malaysia, pasukan terbabit berminat untuk menguji pemain sayap lincah itu dalam masa terdekat selepas tertarik dengan potensi yang dimiliki pemain muda itu.

Sebagai rekod, bekas pemain Kedah itu menyertai juara bertahan Liga Super itu pada musim ini dengan kontrak selama empat tahun dengan pemain kebangsaan itu memiliki nilai tebus kontrak sebanyak RM12 juta yang diletakkan JDT.

Sumber : BH