STORM Selangor, Negeri Sembilan bantu pasukan SAR cari Mohammad Ashraf

GOPENG – Seramai 16 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Negeri Sembilan akan tiba di Gopeng bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak Sabtu minggu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, dua pasukan berkenaan dijangka tiba pada malam ini dan mereka akan menyertai pasukan SAR bermula 8.30 pagi esok.

“Bantuan pasukan dari dua negeri masing-masing 10 anggota dari Selangor dan enam dari Negeri Sembilan itu diperlukan berdasarkan kepakaran dan pengamalan mereka yang sering terlibat dalam gerakan mencari orang hilang sepanjang tahun.

“Oleh sebab itu, pengalaman mereka diharap dapat membantu pasukan SAR menyelesaikan misi kali ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Mohamad Yunus, dua pasukan berkenaan akan menyertai 10 anggota STORM dan Multi Skill Team (Musteam) Perak yang akan menumpukan lokasi pencarian di laluan terakhir iaitu di check point ke-10.

“Operasi SAR telah disambung semula pada pagi tadi dengan pusat kawalan operasi sama iaitu di Kampung Pintu Padang berhampiran Bukit Batu Putih.

“Skop pencarian masih dikekalkan di kawasan sama dan sehingga kini petunjuk yang kita perolehi masih samar,” katanya. – K! ONLINE