Sukar Untuk Diterima

“SUKAR untuk diterima,” kata penolong ketua jurulatih Kedah, Victor Andrag selepas kempunan tiga mata biarpun pasukannya sudah berada di ambang kemenangan sebelum seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Bagaimanapun beliau yang mengambil alih tugas selaku pengendali sementara skuad Helang Merah selepas ketua jurulatih Aidil Shahrin Sahak menghadiri kursus lesen profesional di Kuala Lumpur tetap memberi pujian kepada anak buahnya yang kebal bertahan biarpun beraksi dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir.

“Apa pun saya harus berterima kasih kepada semua pemain kerana memperagakan aksi terbaik walaupun kekurangan seorang pemain pada 20 minit terakhir perlawanan.

“Kami cuba bertahan untuk mengekalkan pendahuluan 2-1 hingga masa kecederaan, tapi apa boleh buat, inilah bola sepak.”
Pada perlawanan itu pelawat yang lebih kerap diasak terpaksa menerima hakikat apabila Azmeer Yusof diperintah keluar padang pada minit ke-68 selepas menerima kad kuning kedua.

Peluang itu digunakan sebaik mungkin anak buah Mohamad Nik untuk mencari gol penyamaan yang diperoleh pada masa kecederaan menerusi tandukan penyerang sensasi, Kipre Tchetche bagi memastikan pelawat pulang dengan satu mata.