Otai sarung jersi Pahang

BEKAS penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli tidak menyangka menyarung jersi Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu mengakui skuad Tok Gajah antara pasukan yang ingin disertai berdasarkan pencapaian dan prestasi gah skuad itu.

“Saya anggap ia rezeki dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

“Tawaran diterima dengan hati yang terbuka kerana memang berhasrat untuk menabur bakti bersama Pahang dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya juga amat berbesar hati apabila menjadi seorang daripada pemain yang akan memperkasakan pasukan untuk meraih kejayaan dalam saingan liga musim ini,” katanya.

Sharbinee berkata, setakat ini, dia berpuas hati dengan prestasi semasa selepas lebih sebulan menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Katanya, sebagai pemain baru dalam skuad itu, dia bertekad mempamer persembahan meyakinkan untuk membantu Pahang mencipta kejayaan manis musim ini .

“Saya akan membalas kepercayaan dan komitmen tinggi rakan sepasukan juga akan membantu memastikan Tok Gajah menjulang kejuaraan,” katanya.

Selain Sharbinee, Pahang turut diperkuatkan dua lagi penjaga iaitu Helmi Eliza Elias yang juga penjaga gol utama Pahang musim lalu dan bekas penjaga gol UiTM FC, Daniel Wafiuddin.

Dengan pengalaman yang dimiliki ketiga-tiga penjaga gol berkenaan, peminat Tok Gajah mungkin menyaksikan penjaga gol baru bakal menjaga gawang musim ini.tamat