“Tak Tahulah Apa Sebabnya”

Penyerang veteran Ashari Samsudin bukannya digugurkan daripada pasukan Terengganu FC bagi saingan Liga Malaysia musim 2020, sebaliknya pemain itu tidak memberi jawapan sama ada mahu menerima atau tidak lanjutan kontrak yang ditawarkan kepadanya.

Perkara itu didedahkan oleh pengurus pasukan Terengganu FC, Ahmad Shahrizal Yahya sambil memberitahu kontrak baru telah ditawarkan kepadanya sejak bulan November 2019 lagi.

“PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) sudah menghantar surat kepadanya mengenai tawaran lanjutan kontrak, bukan seminggu dua tetapi sejak bulan November selepas kontrak berakhir lagi, tetapi sehingga ke hari ini dia cuma berdiam diri dan tidak memberikan sebarang jawapan, senyap.

“Cakap terima pun tidak, tolak pun tidak, tak tahulah apa sebabnya, kita dah bagi tempoh yang lama tak tahulah nak cakap macam mana lagi. Boleh tanya sendiri kepada tuan punya badan apa sebabnya,” kata Shahrizal kepada Berita Harian.

Ashari yang merupakan pemenang kasut emas Liga Super 2010 telah berbakti begitu lama dengan Terengganu FC sejak dari usia mudanya pada 2005 (20 tahun) sehingga ke 2019, di mana dalam tempoh 15 tahun itu hanya satu musim sahaja dia berhijrah bermain untuk Pahang pada 2017.

Antara pencapaian pemain digelar ‘the silent killer’ itu adalah membantu Terengganu menjuarai Piala FA 2011 dan dua kali muncul naib juara Piala Malaysia pada 2011 dan 2018.

Bersama pasukan kebangsaan, Ashari salah seorang anggota pasukan yang menjulang Piala AFF Suzuki 2010, di mana dia menjaringkan salah satu gol dalam kemenangan bergaya 3-0 ke atas Indonesia dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Foto : Terengganu FC