Tidak Pernah Berpatah Balik

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan isu perpindahan kontroversi penyerang muda negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid belum berakhir dan ia akan diteruskan dengan membawa kes itu ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang berpusat di Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya tidak pernah berpatah balik dalam kes membabitkan penyerang kebangsaan itu yang bermula sejak 18 Januari lalu.

“Ini bermula setelah mendapat nasihat peguam berkaitan proses timbang tara dilakukan menurut Fasal 12.1 dan pihak kami turut meneliti Artikel 25.3 iaitu Peraturan Status Pemain FAM dan juga keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM yang telah dibuat.,” kata Asmirul.

“Menurut Artikel 67 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk itu sepatutnya mewujudkan sebuah tribunal timbang tara untuk menangani rayuan daripada Jawatankuasa Rayuan. Bagaimanapun, tribunal berkenaan masih belum diwujudkan dan ini disahkan oleh pihak FAM sendiri melalui peguamnya.

“Untuk menangani ketiadaan tribunal itu ketika ini, peguam FAM mengesahkan bahawa badan yang paling sesuai untuk proses timbang tara boleh dilakukan adalah di Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang berada di Kuala Lumpur dan kami mendapat pengesahan daripada pihak peguam FAM sendiri.”

Asmirul turut memaklumkan pihaknya sudah mendapat khidmat dan nasihat peguam yang lebih komprehensif, menyeluruh dan mendalam berkaitan undang-undang dan peraturan sukan bola sepak profesional, termasuk peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Pihak kami menerima dan akur dengan pendapat peguam kami dan telah memulakan proses timbang tara domestik dahulu di mana pihak yang terbabit mesti menjalani segala proses perundangan secara domestik sebelum bidangkuasa CAS atau FIFA boleh diguna pakai.

“KFA adalah ahli FAM, dan badan induk ini juga adalah ahli kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA, jadi kami menerima prosedur yang wajib dipakai untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul,” katanya.

Asmirul juga mahu semua pihak menghormati prosedur yang telah ditetapkan dan tidak membuat membuat spekulasi negatif serta tidak berasas berkaitan kes yang berjalan ini.

Sumber: BH