Tok Gajah belasah Melaka United

PAHANG menamatkan aksi penutup tirai Liga Super dengan kemenangan bergaya apabila membenam Melaka United 4-1 di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Biarpun sudah mengesahkan status sebagai naib juara liga musim ini, skuad kendalian Dollah Salleh meneruskan rentak permainan konsisten selepas cemerlang menewaskan FELDA United 3-1, Rabu lalu.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi sentuhan peny3rang import, Lazarus Kaimbi yang menewaskan penjaga gol Melaka United, Ahmad Solehin Mamat seawal minit pertama.

Pada minit ke-20, pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran Nor Azam Azih.

Melaka mula mendapat rentak selepas rehat dan membolosi gawang Pahang menerusi sepakan percuma yang disempurnakan pemain import Luka Milunovic pada ke-57.

Pada minit ke-69, Kaimbi menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadi untuk meletakkan Pahang kembali selesa mendahului lawan 3-1 sebelum Saddil Ramdani menambah gol keempat seminit sebelum tamat.