Yusri Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Yusri Che Lah bertindak profesional apabila melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu diambil Yusri susulan prestasi buruk skuad The City Boys yang tewas semua lima perlawanan awal Liga Super musim ini dan berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Yusri menjelaskan tindakannya itu dibuat atas dasar tanggungjawab demi kebaikan pasukan dan tidak dipengaruhi oleh desakan mana-mana pihak sama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mahu pun penyokong.

“Saya meletakkan jawatan atas persetujuan bersama dengan pengurusan KLFA kerana jika saya letak jawatan tanpa mendapat restu daripada majikan, saya boleh dikenakan tindakan berdasarkan kontrak yang sudah ditandatangani.

“Saya perlu bersikap jujur, walaupun tidak semua orang melihat lima perlawanan yang saya hadapi adalah dengan pasukan berstatus juara iaitu Pahang, JDT, Terengganu, Melaka United dan Selangor.

“Sejujurnya saya tidak pernah merasakan pemain membunuh (memboikot) saya (menyebabkan prestasi buruk), ia tiada dalam kamus hidup saya kerana saya percaya jika saya jujur dengan manusia, mereka pun akan jujur dengan saya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Anak buah Yusri tewas 1-3 kepada Pahang dalam aksi pembukaan liga musim ini di gelanggang sendiri sebelum mengalami empat kekalahan seterusnya iaitu kecundang di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-4, Terengganu (1-0), Melaka United (2-0) dan Selangor (3-2).

Sementara itu, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa mengesahkan tempat Yusri akan diambilalih sementara oleh penolong jurulatih Chong Yee Fatt sebelum melantik ketua jurulatih yang baharu.

“Kalau nak ambil alih perlukan masa dan kita juga perlu lihat juga dari segi kos perbelanjaan itu. Kuala Lumpur pun bukan ada kewangan yang tinggi dan kita hanya berbelanja cukup-cukup saja.

“Kita harap Chong boleh membuat perubahan dan penyokong pun kalau boleh bersabar, jangan cepat menghukum jurulatih hingga mereka terpaksa menarik diri,” katanya.

Sumber : HM