Yusri tanggung akibat kedegilan Guilherme!

KEDEGILAN pemain import Guilherme de Paula untuk keluar secara sukarela seterusnya berehat selepas mengalami kecederaan antara punca pasukan Kuala Lumpur terus gagal menemui rentak kemenangan seterusnya menyebabkan Yusri Che Lah terpaksa menanggung akibatnya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa berkata, perkara itu yang selama ini terpaksa ditanggung oleh pasukan berkenaan apabila tidak mempunyai pemain import mencukupi untuk diturunkan pada setiap perlawanan.

Beliau berkata, sebelum ini, pengurusan sudah meminta Yusri berbincang dengan Paula supaya berundur secara sukarela dan berehat sehingga jendela perpindahan kedua dibuka.

“Namun, pemain berkenaan tetap dengan pendirian mahu bersama dalam pasukan dan enggan memberikan kerjasama untuk ‘keluar’ sementara sehingga kecederaannya pulih.

“Akibatnya, kami tidak boleh membariskan kesemua pemain import dan kemuncaknya jurulatih pula yang terpaksa menanggung akibat berikutan prestasi pasukan kurang memuaskan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum itu, jodoh pengendali Kuala Lumpur Yusri bersama pasukan terbabit hanya mampu bertahan untuk enam perlawanan sahaja apabila jurulatih itu mengambil keputusan meletak jawatan berkuatkuasa semalam selepas gagal meraih sebarang kemenangan setakat ini.

Keputusan itu diambil berikutan desakan daripada penyokong Skuad The City Boy yang mahu bekas pengendali Kelantan itu berundur sekali gus bertanggungjawab terhadap persembahan buruk pasukan berkenaan.

Sementara itu, Nokman memaklumkan pembantu jurulatih, Chong Yee Fat akan mengambil alih sementara tugas Yusri sehingga pihak pengurusan mendapat calon bersesuaian mengisi kekosongan terbabit.

“Namun tidak mustahil Chong akan menyandang jawatan ketua jurulatih jika dia mampu membawa perubahan pada perlawanan akan datang nanti,” katanya.

Sumber : HM